Tiada pilih ‘kasih’ bantu rakyat – MB Terengganu

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengingat, kepada semua bahagian pelaksana bantuan kepada rakyat terjejas akibat arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), usah pilih ‘kasih’.

Advertisement

Justeru, katanya bahagian pelaksana bantuan termasuk pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) hendaklah berlaku adil kepada semua mereka yang layak.

Menurutnya, rakyat yang memerlukan bantuan ini tidak mengira siapa sebagaimana virus Covid-19 juga tidak kenal daripada parti mana, orang mana, bahasa mana dan agama mana.

“Saya menyeru kepada semua pihak bahagian pelaksana, MPKK dan sebagainya supaya kita harus bertindak dengan adil. Bantuan diberikan kepada mereka yang memerlukan dahulu. Mereka yang memerlukan dalam masyarakat kita ada beberapa kategori.

“Semua pihak mereka yang menyampaikan bantuan ini tidak boleh sekali-kali pilih ‘kasih’ dan seharusnya bertindak adil. Mereka yang memerlukan dalam masyarakat kena beri tanpa mengira mereka ini dari latar belakang, warna kulit, agama dan sebagainya.

“Ini perkara asas yang sangat penting dan kita kena tunjukkan negeri Terengganu ini berbeza dari tempat-tempat lain di seluruh negara,” ujarnya ketika ditanya pemberita, adakah berlaku pilih kasih kepada penerima bantuan Covid-19.

Beliau berkata demikian selepas satu Majlis Penyerahan Cek Kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Mengikut Pakej Rangsangan Terengganu Cakna Menangani Kesan Covid-19 Fasa Empat, kerajaan Terengganu turut memperuntukan sejumlah RM300,000 bagi setiap Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi golongan yang sangat terjejas akibat PKP dilaksanakan di seluruh negara.

Sehubungan itu, laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat 208 kes Covid-19 baharu pada 2 April dan menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negara ini ialah 3,116 kes dengan 50 kematiannya. – HARAKAHDAILY 3/4/2020