UMMAH ucap tahniah kepada Presiden PAS

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang -foto Media Presiden

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang atas pelantikan beliau sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri.

Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa menerusi kenyataannya kepada Harakahdaily di sini, hari ini berkata, pelantikan Tuan Guru Abdul Hadi adalah suatu keputusan yang tepat pada masanya.

Advertisement

“UMMAH turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang telah memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Tuan Guru Abdul Hadi untuk memikul tanggungjawab sebagai Duta Khas Kepada Perdana Menteri Ke Timur Tengah.

“UMMAH berkeyakinan, Tuan Guru Abdul Hadi berupaya memainkan peranan mengukuhkan lagi hubungan secara diplomatik yang lebih positif dan konstruktif antara Malaysia dan negara Timur Tengah,” kata Mohd Zai.

Pejabat Perdana Menteri semalam mengumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melantik Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf Menteri.

Berdasarkan kenyataan Pejabat Perdana Menteri, Tuan Guru Abdul Hadi adalah mantan Naib Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia dan merupakan mantan Menteri Besar Terengganu pada tahun 1999 sehingga 2004.

Beliau mempunyai latar belakang Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Islam Madinah dan Ijazah Sarjana dalam bidang Sains Politik dari Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir.

Beliau pernah tersenarai antara 500 Muslim berpengaruh di dunia bagi kategori Pendakwah dan Pembimbing Rohani oleh The Royal Islamic Strategic Studies yang berpusat di Jordan pada 2016.

Mohd Zai berpendapat, hubungan luas Presiden PAS itu dengan tokoh-tokoh Islam dan pemimpin di Timur Tengah membantu beliau memainkan peranan lebih baik dalam hal ehwal berkaitan diplomatik, pendidikan, politik, ekonomi dan kebudayaan memberi keuntungan antara Malaysia dengan negara Timur Tengah.

“UMMAH mengharapkan Tuan Guru Abdul Hadi lebih aktif membawa pendirian Malaysia berhubung isu Palestin yang ditindas oleh regim Zionis-Israel serta membantu menstabilkan politik di negara sedang bergolak di rantau tersebut.

“UMMAH memanjatkan doa semoga beliau dapat memikul amanah ini dengan sebaiknya serta mendapat pertunjuk dari Ilahi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/4/2020