ADUN Guar Sanji bantu mangsa ribut

ARAU: Hujan lebat yang melanda semalam menyebabkan beberapa kampung di sini mengalami ribut kencang.

Pida 3 Semut Gatal, Pida 2 Sekerat dan Padang Besar Guar Sanji antara kampung yang terlibat dengan ribut.

Prihatin dengan keadaan tersebut, ADUN Guar Sanji, Ustaz Mohd Ridzuan Hashim, bersama Ketua Cawangan PAS Changkat Jawi, Marwan Ismail dan wakil JKKK Pida 2 Sekerat, Amirul Husin melawat ke kawasan yang terlibat.

Advertisement

“Hasilnya didapati, beberapa kediaman mengalami kerosakan akibat kejadian berkenaan dan PKWR Guar Sanji memberikan sumbangan kepada semua mangsa sementara menanti bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi-agensi yang terlibat.

“Kepada semua mangsa, didoakan agar diberikan kesabaran serta ketabahan dalam menghadapi ujian,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, sumbangan makanan sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terus dipergiatkan.

Sumbangan diserah kepada Pengerusi Jawatan Kuasa Kerja Kampung (JKKK) dan Ketua Cawangan Kampung Mua, Kampung Behor Pengapit, Kg. Chemumar dan Kampung Che Ok’ Tengah.

Sebanyak 400 rumah akan menerima sumbangan makanan.

Menurut beliau JKKK diberi kepercayaan untuk menyampaikan sumbangan itu kepada penduduk kampung yang memerlukan.- HARAKAHDAILY 4/4/2020