Revolusi Industri dan masa depan ideologi

SEJARAH

(1) Revolusi Industri 4.0 mula diperkatakan sejak 2011 di Jerman, dan mendapat perhatian dalam satu Forum Ekonomi Dunia pada 2016. Dunia sedang bergerak pantas.

(a) Dari segi sejarahnya, Revolusi Industri 1.0 terjadi pada era 18-an dengan kemunculan enjin stim. Boleh rujuk artikel saya yang lalu [1]. Pencetus enjin stim ini bermula dari ketamadunan Baghdad.

Namun, ia tidak tertulis dalam sejarah. Barat mencedok teknologi ini dan mencetuskan Revolusi Industri 1.0 ketika itu. Kewujudan enjin stim berasaskan air dan wap.

Advertisement

Ia berkembang pesat sehinggalah digunakan secara meluas dalam pertanian, pengangkutan dan sebagainya. Namun hari ini, penggunaan enjin stim dianggap antik.

(b) Sebelum Perang Dunia pertama, tercetusnya Revolusi Industri 2.0 apabila penemuan elektrik. Kemudian berkembang kepada penghasilan kereta, kapal terbang, telefon dan sebagainya.

(c) Pada penghujung 60-an tercetus Revolusi Industri 3.0 apabila peralatan elektronik dan digital dihasilkan seperti kamera, televisyen, radio dan sebagainya. Perkembangan tekonologi internet turut berlaku di zaman itu.

(2) Pada hari ini, perkembangan dunia digital, internet dan elektronik semakin pantas. Ciptaan-ciptaan yang bersifat mikro sudah menjadi persaingan di antara benua.

Kemajuan ini menampakkan laluan ke arah Revolusi Industri 4.0 apabila digital, internet dan elektronik tadi menjadi ‘sebahagian daripada kehidupan manusia’.

Persaingan

(1) Saya pernah menulis persaingan antara teknologi VS manusia, atau machine VS human [2]. Ia menjadi perbincangan hangat di Barat, apabila robot dilihat lebih cerdik daripada manusia.

Kalau dahulu, penemuan enjin stim telah mewujudkan kekuatan yang lebih kuat daripada manusia. Pekerja buruh semakin tidak laku, apabila peralatan berasaskan enjin dicipta.

(2) Namun hari ini persaingannya bukan lagi dari segi kekuatan. Kerana kekuatan manusia sudah dikalahkan oleh mesin. Contoh mudah, beza antara manusia yang menyangkul, atau backhoe.

Persaingan hari ini lebih rumit apabila kecerdikan manusia sedang disaingi oleh mesin atau komputer. Teknologi yang terbaru berasaskan Artificial Intelligence (Ai)

(3) Ada yang melihat ia satu persaingan. Tetapi ada yang melihat dari sudut positif, iaitu menjadikan Ai sebagai sebahagian daripada manusia atau membantu hidup manusia.

(a) Bukan setakat itu, jaringan tanpa sempadan juga semakin meluas apabila tahun lepas China sudah mulakan dunia 5G yang jauh lebih pantas daripada 4G.

(b) Dunia televisyen, atau pawagam akan ditinggalkan jauh ke belakang, sepertimana hari ini kita melihat persembahan wayang kulit sebagai sesuatu yang antik.

(4) Ringkasnya, dunia sedang berubah. Menuju kepada era manusia dikalahkan oleh mesin, khususnya dari sudut kecerdikan. Hasilnya, manusia semakin malas berfikir atau berubah gaya fikir.

Perubahan cara berfikir

(1) Dalam pergelutan dunia persaingan ini kita perlu fikirkan bagaimana persediaan kita menghadapinya? Bagaimanakah manusia boleh menyesuaikan diri dengan masa depan?

(a) Masa depan, manusia sudah semakin kurang berfikir mengenai kepayahan hidup. Tak perlu fikir bagaimana nak bergerak 500 km sejam kerana sudah ada keretapi laju.

(b) Manusia sudah tidak perlu hafal jadual hariannya, kerana ada Android yang menjadi reminder. Tidak perlu fikir bagaimana nak cari makanan, kerana boleh di order melalui talian.

Fenomena ini akan mengheret manusia ke arah stamina berfikir yang lemah, daya ingatan yang tidak kuat, kecerdikan yang tumpul dan sebagainya.

(2) Revolusi Industri 1.0 menjadikan sistem sosial menjadi kecamuk. Apabila tenaga buruh sudah tidak diperlukan. Para pekerja banyak hilang pekerjaan.

Iaitu apabila kerja-kerja mereka sudah dibuat oleh mesin. Kapitalism yang subur ketika itu, turut menyumbang ke arah masalah ketidak-seimbangan sosial skala besar.

Lalu munculnya Sosialism yang mengutamakan hak tenaga buruh. Hari ini, manusia sudah terbiasa dengan kehidupan sedemikian sedikit demi sedikit.

(3) Masa depan masih lagi menjadi tanda tanya. Apakah akan semakin menebalnya Materialism? Atau Existentialism? Ini kerana perkembangan teknologi ini mengheret kepada perubahan ideologi.

Materialism era baru

(1) Kita boleh lihat hal ini ketika kemunculan globalisasi era 90-an, dunia tanpa sempadan. Sangat sinonim dengan ideologi Liberalism. Tetapi kemuncaknya pada hari ini, ia dilihat membunuh demokrasi.

Seolah-olah sistem demokrasi akan berkubur, tetapi ideologi Liberalism dan Populism pula semakin subur. Perlu fikir masa depan Islam, jika Materialism itu semakin subur disebabkan Revolusi Industri 4.0.

(2) Konsep keTuhanan, Agama, kepercayaan, dan sebagainya mungkin menjadi semakin kabur apabila masyarakat terhalang dengan ketebalan teknologi.

Manusia akan bersandarkan kepada hujah akal dan rasional. Masa depan itu semakin mencabar. Dunia yang melahirkan manusia yang semakin tidak rasa bertuhan.

(3) Contohnya, kalau dahulu mungkin agak ajaib dengan kajian biologi mengenai kelahiran manusia. Atau bahasa mudahnya kesemulajadian kewujudan manusia.

Tetapi masa depan apabila teknologi mendahului, manusia bakal dicipta oleh mesin dengan konsep yang dikenali bayi tabung uji. Manusia yang ‘dilahirkan’ di makmal dan bukan hospital.

(4) Realiti ini akan mengheret kepada Materialism era baru. Sebab itulah apabila kita baca Hadis-hadis mengenai Dajal, kita akan dapati Dajal ‘agak serasi’ dengan dunia era baru Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Penguasaan minda, hoax, gambaran syurga neraka, mengawal cuaca dan sebagainya yang menjadi gambaran suasana era Dajal sepertimana yang disebutkan oleh Baginda S.A.W.

Tindakan kita

(1) Antara yang perlu diberi perhatian, gerakan Islam di era ini perlu lebih banyak menumpukan program yang berunsurkan Intelektualism, atau pembinaan daya fikir.

Budaya perbincangan dan dialog-dialog kritikal perlu dibiasakan, bukan sekadar program fizikal dan himpunan-himpunan. Ini kerana perang pada hari ini ialah perang kecerdikan.

(2) Bahasa mudahnya, siapa yang cerdik dia akan menang. Siapa yang kuat atau ramai, belum tentu menang. Revolusi Industri 4.0 menjadikan manusia itu bukan sekadar malas berfikir, tapi perubahan gaya fikir.

Contohnya, manusia malas nak fikir bagaimana nak mengadakan perhimpunan gergasi. Tetapi mereka berfikir untuk mengumpulkan likers dan meningkatkan viewers.

(3) Hal ini menjadi faktor kepada keperluan membudayakan Intelektualism di kalangan ahli gerakan Islam. Bukan hanya sekadar mendengar dan ikut, tetapi berfikir dan beridea

Ini kerana kita bakal berhadapan dengan Materialism era baru. Berhadapan dengan Generasi Z yang berfikir cara baru. Berhujah dengan persembahan yang baru.

(4) Generasi baru yang lebih mudah untuk mengakses dan lebih pantas untuk menjadi ‘seorang yang tahu’. Iaitu generasi yang berada di dunia teknologi baru.

Mereka yang tidak menguasai dunia maya, atau bersikap ‘tidak mahu berbincang’ seolah-olah akan kalah. Kalau dahulu mungkin perlu habiskan air liur untuk mencari pengaruh, tetapi hari ini perlu pamerkan idea.

[1] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3075416009166805&id=100000953077134

[2] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2993097477398659&id=100000953077134

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 4/4/2020