Status kesalahan langgar PKP dan sabitan berkaitan

KUALA LUMPUR: Sesiapa jua yang ditangkap dan didakwa dengan sebab melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kemudiannya disabitkan atas kesalahan itu, statusnya bukanlah seorang penjenayah.

Advertisement

Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Pusat, Wan Rohimi Wan Daud berkata, pertuduhan bagi dakwaan kesalahan itu akan didaftarkan di bawah Kod No. 85 yang bermaksud Orang Kena Saman (OKS).

Beliau yang juga seorang peguam berpengalaman menjelaskan, hukuman bagi sabitan atas pertuduhan ini ialah denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan, atau kedua-duanya sekali.

Hal tersebut terang beliau kerana kesalahan tersebut berada di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Sewaktu pertuduhan dibaca, OKS diminta berdiri di luar kandang Pesalah di mana ia tidak sama dengan pertuduhan jenayah yang perlu berdiri dalam Kandang Pesalah.

“Sabitannya bukanlah sabitan jenayah, tiada rekod jenayah! Kesnya sama seperti seorang yang kena saman oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau Polis DiRaja Malaysia (PDRM),” ujarnya.

Namun, peringat dan nasihat beliau, status menjadi sebaliknya jika seseorang dihukum penjara melebihi sehari yang bermakna perlu mendaftar masuk sebagai seorang banduan.

Atau katanya, kerana tidak mampu bayar denda yang dikenakan (default) dan kemudiannya dipenjarakan sebagai ganti denda, maka akan direkodkan sebagai bekas banduan.

“Perlu diingat, situasi ini tidak terpakai sekiranya anda didakwa atau turut didakwa dibawah Kanun Keseksaan contohnya di bawah Seksyen 186 kerana menghalang Penjawat Awam dalam menjalankan tanggungjawab mereka untuk menguatkuasakan undang-undang.

“Sama ada dalam bentuk caci maki, kata nista mahu pun kekerasan yang lain atau Akta Polis 1967 atau kesalahan-kesalahan jenayah yang lain,” tegasnya membezakan antara setiap kesalahan tersebut. – HARAKAHDAILY 4/4/2020