BPN: Waspada ‘scammer’, berurusan secara sah

KUALA LUMPUR: Orang ramai yang sedang dalam proses memohon Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dinasihat melakukannya mengikut saluran sah dan berwaspada dari terjebak sindiket penipuan (scammer).

Advertisement

Dilaporkan, sejak BPN di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat diumumkan Perdana Menteri, wujud pihak-pihak cuba mengambil kesempatan.

Ketika sama ramai yang mengadu gagal melakukan semakan dalam talian menerusi laman rasmi Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

Bagaimanapun dimaklumkan ia bersifat sementara kerana ramai orang berpusu-pusu membuat semakan pada waktu sama, tetapi semakin baik.

LHDNM bagaimanapun menasihatkan orang ramai agar tidak panik kerana semakan dibuka sehingga 30 April nanti dan makluman kelayakan dibuat menerusi SMS atau e-mel.

“Pastikan SMS yang diterima adalah dari nombor 62000 atau 63833 sahaja. LHDNM tidak akan meminta maklumat peribadi dan perbankan menerusi SMS,” ujar kenyataan tersebut.

Ketika sama LHDNM mengingatkan orang ramai tidak menjadi mangsa penipuan kewangan dan percukaian dengan tidak mendedah maklumat peribadi berkaitan.

Orang ramai juga dinasihat tidak memberi maklum balas sekiranya menerima panggilan telefon, SMS, e-mel atau surat meragukan bukan dari LHDNM.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Dato’ Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) memantau hal tersebut.

Maklumnya, ‘scammer’ cuba mengambil kesempatan waktu ini mendapatkan nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat dan nombor akaun bank mangsa.

Menurutnya, manipulasi untuk melakukan penipuan ini akan menyebabkan kerugian secara memperdayakan mangsa yang menuntut orang ramai berwaspada.

Malah setakat ini terdapat aduan ramai mangsa penipuan terutama berkaitan jualan topeng muka dan cecair pembasmi kuman atas talian melibatkan nilai jutaan ringgit.

Bagi orang awam yang sememangnya terjejas dengan PKP dan amat memerlukan bantuan boleh mendapatkannya menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Mereka diminta menghubungi Talian Kasih di 15999 atau WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 atau hubungi Bilik Gerakan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri/Daerah yang kini beroperasi 24 jam.

Pemohon hanya perlu kemukakan maklumat iaitu nama, nombor kad pengenalan, alamat rumah, bilangan ahli keluarga yang berada di alamat tersebut dan nombor boleh dihubungi sebelum pengesahan maklumat dibuat oleh JKM.

Serahan penghantaran barangan bantuan adalah diadakan ke rumah oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) – HARAKAHDAILY 5/4/2020