Mengangkat aspirasi FPK menangani impak COVID-19

fpk

PENGENALAN

Perubahan landskap pendidikan global sangat ketara apabila kaedah konvesional pengajaran di sekolah dilihat tidak kalis krisis pada fasa pandemik COVID-19. Di peringkat global, rata-rata institusi pendidikan seperti universiti dan sekolah terpaksa ditutup. Amalan penjarakkan sosial (social distancing) dan peraturan untuk tidak membenarkan berhimpun dalam jumlah tertentu terpaksa dikuatkuasakan bagi mengekang penularan COVID-19.

Advertisement

Ini menjadikan perubahan kaedah penyampaian pengajaran perlu dilakukan. Pemimpin dan pengurus pendidikan, pengetua dan guru besar serta guru-guru sebagai player utama terpaksa menerima hakikat ini sama ada suka atau tidak. Melihat krisis ini dari perspektif lain, pandemik terjadi telah bertindak sebagai pemangkin dalam memacu semula pembelajaran atas talian yang sebelum ini menjadi wacana utama di pentas forum Revolusi Industri 4.0 (RI 4.0)
                                                                                                                                   Pada masa yang sama, tempoh masa ini menjadi refleksi awam terhadap tahap kesediaan kita terhadap beberapa aspek sokongan dalam menjayakan alternatif pembelajaran secara maya. Dalam konteks Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilihat terkehadapan dalam perancangannya untuk menyediakan infrastruktur pembelajaran melalui transfomasi teknologi maklumat dan komunikasi Teknologi Informasi dan Komunikasi (ICT).

Mengikut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, dalam anjakan ketujuh menggariskan 3 gelombang ICT dalam pendidikan. Iaitu gelombang satu (2013-2015) untuk memperkenalkan asas ICT, gelombang kedua (2016-2020) untuk memperkenalkan inovasi ICT dan gelombang ketiga (2021-2025) untuk mengekalkan penggunaan inovatif seluruh sistem. Melalui PPPM 2013-2025 ini, kita memahami bahawa KPM berada pada fasa akhir gelombang kedua dan bakal memasuki gelombang ketiga pada tahun hadapan.       

Peranan guru dalam mengurus perubahan dalam fasa pandemik

Pandemik COVID-19 ini juga bertindak sebagai wake up call yang mencetus kesegeraan bertindak (sense of urgency) di kalangan guru. Proses penyampaian ilmu melalui pelbagai mekanisma dalam talian masih memerlukan kepada kepakaran guru sebagai subject matter expert (SME) agar kandungan yang disampaikan selari dengan objektif dan kehendak kurikulum. Rekabentuk pengajaran dan pembelajaran (PdP) disesuaikan dengan variasi platform maya seperti Google Classroom, You Tube, Quizzez, Zoom, Skype dan beberapa aplikasi yang lain. Keadaan ini mewujudkan autonomi kuasa kepada guru dalam menentukan penyampaian PdP yang berkesan.

Bank Dunia di dalam laporannya ada menyatakan bahawa antara kesukaran yang dihadapi dalam penggunaan teknologi pendidikan adalah kebanyakan program tidak mengambil pendekatan yang holistik terhadap ICT. Iaitu matlamat pendidikan berkaitan dengan penggunaan ICT yang meluas tidak dihubungkan dengan perubahan kurikulum, sistem pentaksiran murid, pendekatan pedagogi di dalam bilik darjah, dan pendidikan guru. (PPPM, halaman 6-23).

Cabaran yang wujud seperti dinyatakan dalam laporan Bank Dunia tersebut perlu ditangani melalui program dan latihan peningkatan profesionalisme guru agar kompetensi dapat dipertingkatkan. Guru juga boleh memanfaatkan tempoh PKP ini untuk meningkatkan literasi teknologi dan maklumat agar perubahan gelombang ketiga ICT didalam PPIM dapat direalisasikan.

Meninjau perspektif PSH di dalam FPK terhadap impak pandemik COVID-19

Menurut Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Daripada FPK ini ,terdapat 3 elemen utama di dalam yang perlu dilihat bersama iaitu pembelajaran sepanjang hayat (lifelong learning), menyeluruh (holistic) dan bersepadu (integrated).

Merujuk kepada web KPM, Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) merupakan satu proses pendemokrasian pendidikan yang merangkumi program pemerolehan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi sama ada secara formal atau tidak formal berdasarkan pengalaman dan latihan. Daya saing global dan kepelbagaian keperluan telah mendesak individu supaya sentiasa memperbaharui pengetahuan dan kemahiran mereka.

Hal ini juga dituntut oleh majikan dan industri bagi meningkatkan produktiviti. Pada masa yang sama, sejajar dengan pembangunan sosioekonomi negara, individu semakin sedar dan menghayati keperluan untuk pengayaan ilmu dan kemahiran demi kemajuan dan kepuasan diri. Penekanan terhadap konsep pembelajaran sepanjang hayat (PSH) perlu menjadi teras tindakan semua pihak.

Manifestasi ini dapat dilihat dengan jelas dalam pemerolehan pengetahuan melalui pembudayaan pembelajaran atas talian yang sedang berlaku sekarang. Tanpa mengabaikan beberapa isu domestik seperti capaian, kelajuan internet, peranti teknologi yang ‘outdated’ dan kecekapan pengguna, kita perlu mengambil langkah ke hadapan walaupun bergerak perlahan dalam tempoh PKP untuk menjayakan konsep PSH ini.

Peranan ibu bapa dalam menyokong konsep PSH semasa tempoh PKP

Di sini peranan ibu bapa adalah amat penting untuk bertindak sebagai fasilitator di rumah bagi menggantikan peranan guru di sekolah. Menyediakan akses dan sumber kepada pembelajaran atas talian untuk memperoleh pengetahuan adalah merupakan keperluan dan bukannya kehendak sekiranya kita ingin melihat pembudayan ilmu berlaku dengan pesat walaupun dalam tempoh krisis.

Menurut beberapa pakar pendidikan, ibu bapa tidak perlu menyediakan suasana pembelajaran seperti sekolah, tetapi ia mestilah berstruktur dan santai. Pastinya penyediaan jadual waktu bukanlah kaedah utama, namun ia mampu membantu murid dan pelajar agar memenuhi masa secara terarah (directed).

Sekalipun tidak dapat menyerupai sekolah, namun rumah dominannya sebelum ini berfungsi sebagai tempat rehat perlu di ‘struktur’kan fungsinya untuk menyokong konsep PSH. Cabarannya ialah tahap motivasi dan attribut peribadi anak-anak yang perlu diawasi dan dibimbing.

Perubahan dalam tempoh ini merupakan cabaran yang bukan mudah kerana ia dipengaruhi juga oleh ibu bapa yang berbeza latar belakang akademik dan literasi teknologi sekali gus memberikan implikasi terhadap akses dan ekuiti pendidikan anak-anak.

Proses pengukuhan jati diri murid semasa tempoh PKP

Memetik kata-kata Buya Hamka iaitu iman tanpa ilmu bagaikan lentera di tangan bayi. Namun, ilmu tanpa iman, bagaikan lentera di tangan pencuri. Di atas maksud yang sama dengan falsafah FPK yang turut menekankan konsep menyeluruh dan bersepadu, keseimbangan antara kognitif perlu diwujudkan bersama-sama dengan pembentukan sahsiah (akhlaq) dan nilai. Asas kepada keseimbangan ini terletak kepada kepercayaan (faith) dan kepatuhan (submission) kepada Tuhan.

Mengembalikan kehidupan kepada agama dengan mengamalkan cara hidup yang selari dengan kehendak Tuhan perlu diprogramkan di rumah dalam tempoh PKP ini. Sebagai Muslim, anak-anak perlu dididik (tarbiyyah) secara berdisplin dan konsisten dengan menjadikan Nabi Muhammad S.A.W sebagai qudwah (role model) dalam kehidupan.

Program seperti solat berjemaah, membaca Al-Quran, membaca wirid dan zikir seperti Al-Ma’thurat, menghidupkan suasana ilmu (taalim),  membuat refleksi (muhasabah) dan menonton rancangan keagamaan bersama adalah antara program yang perlu disusun dan disesuaikan di setiap rumah.

Iltizam ini perlu ditunjukkan oleh ibu bapa melalui teladan yang baik (exemplary leadership) dalam melahirkan insan seimbang (balanced person) yang akan berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Kesimpulan

Keutamaan negara dalam menangani pandemik COVID-19 ini tidak dapat disangkal lagi. Namun dalam tempoh PKP ini juga, ia membenarkan ruang refleksi kepada kita semua untuk menilai fungsi kita sama ada sebagai pemimpin pendidikan, guru, ibu bapa dan pelajar untuk menjayakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Segala kepakaran, peruntukan kewangan dan sistem sokongan perlu diupayakan sama ada di pihak kerajaan atau swasta. Ini agar tempoh krisis ini kita dapat mengelakkan kelompongan dalam menjana insan seimbang yang memberi kesan ke arah pembinaan negara dan bangsa.

Syabas di atas segala usaha para guru dalam menyediakan platform pembelajaran atas talian untuk dimanfaatkan oleh para pelajar. Semoga usaha murni ini akan berterusan demi meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia di peringkat dunia.

MOHD SOLEHAN AHMAD SHAH
Ketua Jabatan Kepimpinan Komuniti dan Jaringan Korporat
Pusat Pembangunan Komuniti
Institut Aminuddin Baki – HARAKAHDAILY 5/4/2020