Optimis dengan masa depan kesatuan umat Islam

KEGEMILANGAN Arab sudah berakhir

(1) Hari ini kita benar-benar melihat bahawa kegemilangan Dunia Arab sudah lama berakhir. Krisis sesama orang Arab sendiri banyak merugikan mereka dan Dunia Islam.

Cukuplah sejarah Revolusi Agung Arab (Arab Revolt) 1916-1918 menjadi catatan yang menampakkan betapa zaman kegemilangan mereka memang sudah berakhir.

(2) Arab Revolt dikepalai oleh Syarif Hussein yang termakan dengan hasutan intelligent Barat untuk bangkit mempertikaikan Khilafah Uthmaniah yang dianggap tidak layak kerana bukan berbangsa Arab.

Ketebalan Nasionalism Arab ini akhirnya mengheret kepada penjajahan Barat terhadap negara-negara Arab yang sudah pun terpecah-pecah ketika itu.

(3) Palestin yang dikelilingi oleh negara-negara Arab mula dimasuki oleh Israel pasca Arab Revolt dengan menggunakan kapal-kapal British. Negara-negara Arab boleh berdiam diri ketika itu.

Advertisement

Alasannya ialah Israel kaum minoriti, bukan menjadi masalah kata Arab. Manakala kebencian mereka itu pada Uthmaniah, atau orang-orang Turki. Sehingga kini Palestin gagal diselamatkan.

(4) Bahkan negara-negara Arab pada hari ini boleh bermesra dengan Israel atas nama ‘Sunni’. Negara-negara yang mendakwa mereka itu Sunni, berpakat dengan Israel-Amerika untuk menjayakan rancangan mereka.

Khususnya pada 2006 apabila terjalinnya pakatan Sunni-Israel yang terberanak hasil propaganda Barat membakar sentimen mazhab. Realiti ini sudah menjadi sejarah untuk dijadikan pengajaran.

Budaya yang tak perlu ditiru

(1) Kita harus melihat isu ini dari sudut kerangka geopolitik dan masa depan Islam, tanpa prejudis dan fanatism. Masa depan Islam bukan terikat di tangan Arab, tetapi di tangan Umat Islam.

Umat Islam yang semata-mata berkiblatkan Arab, biasanya akan terperangkap dengan permainan sektarian mazhab. Kalau dahulu apabila disebut ‘Arab’ seolah-olah ia adalah Islam.

Tetapi hari ini apabila orang-orang Arab sudah terperangkap dalam sektarian mazhab, mereka seolah-olah inginkan seluruh dunia Islam juga terperangkap dalam kandang itu.

(2) Sikap segelintir Umat Islam yang fanatism terhadap Arab, perlu fahami realiti ini. Mereka seolah-olah menyangka semua Arab itu adalah ‘Syeikh’ dan seorang yang alim.

Cepat tersilau (الانبهار) dengan kata-kata seorang Arab. Seolah-olah keabsahannya setaraf dengan al-Quran dan Hadis sekalipun yang diutarakan itu hanya bersifat pandangan (نظريات).

(3) Bangsa Arab dan mana-mana bangsa sekalipun perlu keluarkan diri mereka daripada dimensi Nasionalism kepada dimensi Islam. Ini kerana dimensi Nasionalism menyebabkan Umat Islam terus berpecah.

Ramai orang Melayu yang menuntut ilmu di Makkah, Madinah, Mesir, Yaman, Jordan dan banyak lagi. Menuntut ilmu di negara Arab bukan bermakna kena bawa budaya Arab di negara sendiri.

Yang kita perlu bawa balik ialah Islam dan Bahasa Arab yang menjadi kunci memahami sumber Islam. Bukannya budaya Arab ataupun Nasionalism yang memecah belahkan.

Realiti perpecahan

(1) Umat Islam hari ini seolah-olah diikat dengan blok Timur atau Barat. Kedua-duanya ada agenda. Bersaing sejak sekian lama. Negara-negara Islam ada di kedua-dua blok.

(a) Contohnya UAE, Arab Saudi, Mesir dan sealiran dengannya berada di blok Barat yang hari ini dikepalai oleh Amerika. Negara-negara ini terkenal dengan Sunninya.

(b) Manakala negara seperti Iran, Syria, Iraq dilihat berada di blok Timur seangkatan dengan Rusia, China dan sebagainya. Negara-negara ini pula majoritinya terkenal dengan Syiah.

(2) Di kalangan negara-negara Sunni yang berpihak di blok Barat bersaing sesama sendiri untuk muncul sebagai suara yang mendominasi Umat Islam. Lalu wujudlah krisis Saudi vs UAE vs Qatar.

Arab Saudi dikenali dengan aliran Salafi-Wahhabi. Qatar pula dikenali sebagai negara yang menyokong gerakan Islam. Manakala UAE pula dikenali dengan Sufi-Sekularnya.

(3) Kita melihat realiti perpecahan hari ini, bahawa agak sukar bagi Islam untuk muncul sebagai satu blok yang tersendiri. Apabila ada angin ke arah menyatukan Islam, Barat terus membakar isu sektarian mazhab.

Ia dilihat sebagai satu vaksin yang paling mujarab untuk mengekang kesatuan Islam sebagai sebuah blok tersendiri. Masing-masing menyangka berada di pihak yang benar.

(4) Penyakit ini sudah lama diperkatakan oleh para pejuang kebangkitan Islam seperti Imam Hassan al-Banna, Said Badiuzzaman an-Nursi, Dr Burhanuddin al-Helmi dan ramai lagi.

Pihak yang benar

(1) Dalam kancah ini perpecahan ini, untuk menyelamatkan keadaan, yang perlu kita bahagikan cuma dua sahaja, iaitu kumpulan lawan Israel, dan kumpulan yang menyokong Israel.

Nabi S.A.W bersabda;

لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الْحَقِّ ظَاهِرِينَ لَعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَأَيْنَ هُمْ قَالَ بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ

“Akan sentiasa wujud di kalangan umatku yang berjuang atas kebenaran, tegas terhadap musuh dan tidak akan terkesan dengan pihak yang meninggalkan mereka, melainkan menghadapi kesempitan hidup. Hinggalah datang ketentuan Allah dan mereka masih dalam keadaan demikian. Sahabat bertanya siapakah mereka? Sabda Rasulullah mereka di Baitul Maqdis dan sekitar Baitul Maqdis.”

(Riwayat Imam Ahmad)

(2) Perlu ketepikan kamu bangsa Arab atau tidak. Perlu bebaskan diri dari kandang sektarian mazhab. Masing-masing perlu mengikat diri atas dasar kefahaman Islam.

(3) Nabi S.A.W meletakkan kayu ukur dalam Hadis tadi bahawa golongan yang berada di pihak kebenaran adalah mereka yang memperjuangkan Baitul Maqdis atau sekitarnya.

Iaitu kumpulan yang mempertahankan Baitul Maqdis, bukannya kumpulan yang mesra dengan Israel yang cuba merampas dan menjahanamkan al-Quds.

Umat Islam tanpa mengira mazhab, atau bangsa perlu bersatu mempertahankan Baitul Maqdis atau Palestin. Mana-mana kumpulan yang berdiri di atas matlamat ini, mereka adalah di pihak yang benar.

Masih ada peluang

(1) Di mana negara-negara Sunni pada hari ini? Masih terikat di blok Barat yang sedang menguasai Palestin. Pakatan Sunni-Israel 2006 sememangnya menampakkan hasilnya yang boleh dibanggakan.

Pakatan ini menyebabkan hari ini Palestin tidak dihiraukan. Manakala negara Syria yang sedang bergolak hari ini menampakkan betapa berjayanya bakaran sektarian mazhab.

(2) Turki yang boleh dikatakan sebagai negara Islam turut tersepit dalam permainan. Boleh rujuk artikel sebelum ini. [1] Kedua-dua Turki dan Syria sedang berebut sempadan, khususnya Idlib.

Manakala umat Islam tahap marhaen hidup dalam pelarian. Pakistan yang berkrisis dengan India, begitu juga penindasan terhadap umat Islam di India sendiri, berterusan hingga ke hari ini.

(3) Secara teorinya, geopolitik Islam yang agak kondusif pada hari ini cuma di rantau Melayu. Berbanding negara-negara Islam yang lain, yang lebih dahsyat krisisnya. Nikmat ini perlu dihargai.

Sebab itulah kita lihat pandangan Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHH) ada yang tidak sama dengan pimpinan-pimpinan negara Arab. Dalam banyak isu. Sekalipun beliau terlibat dalam Kesatuan Ulamak yang berpangkalan di Qatar.

(4) UAE yang ingin bersaing dengan Qatar menubuhkan Majlis Hukama’, yang dipimpin oleh Syeikhul Azhar. Dalam masa yang sama pengaruh TGHH turut ada di kalangan pimpinan negara-negara Arab di blok Timur seperti Iran.

Mungkin peranan TGHH di peringkat Antarabangsa perlu disambut segera oleh ahli PAS. Mencari titik kesatuan untuk menyatukan Umat Islam khususnya di peringkat Antarabangsa. Tanggungjawab yang besar.

[1] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3522395971135471&id=100000953077134

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 5/4/2020