UniMAP tawar khidmat kaunseling Covid-19

ARAU: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bersedia untuk berkongsi perkhidmatan tele-kaunseling bersama masyarakat yang terjejas berikutan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia sekarang.

Perkhidmatan itu dilaksanakan setiap hari bermula Isnin hingga Jumaat jam 8.30 pagi hingga 5 petang.

Advertisement

Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (iKOM) UniMAP Prof Madya Dr Huzili Hussin berkata, program berkenaan akan dikendalikan kaunselor Nur Aimi Muslim, Wan Saniah Wan Yahya, Dr Mohd Arsad Johanis, dan Dr Nurul Naimah Rose.

Katanya, usaha itu dilaksanakan dengan mengambil kira rakyat semakin runsing memandangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjut sehingga 14 April ini.

“Atas dasar itu, UniMAP terpanggil untuk memperluaskan perkhidmatan kaunseling kepada orang ramai dan diharap ia mampu membantu mengurangkan tekanan yang dihadapi mereka.

“Antara isu yang boleh dibincang psikologi, peribadi, keluarga, personaliti, kerjaya dan perhubungan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Orang ramai yang berminat mendapat perkhidmatan tele-kaunseling boleh membuat pendaftaran melalui https://forms.gle/fGxEDg8W6WT9J7FH8 atau hubungi Puan Aimi di talian 0134413696.- HARAKAHDAILY 5/4/2020