Boleh keluar zakat harta semasa wabak

Walaupun sebelum cukup haul

DALAM Risalah Ta’jil Ikhraj Al-Zakat Bisabab Fairus Kuruna tulisan Syeikh Mas’ud Sobri menyatakan bahawa seseorang itu boleh mengeluarkan zakat hartanya sebelum cukup haul apabila berlaku situasi wabak penyakit bagi membantu asnaf zakat yang terkesan akibat penularan wabak tersebut:

Advertisement

أما العبادات التي ليس الوقت سببا في وجوبها، ولو كان شرطا فيها مثل الزكاة.. فيجوز تعجيل إخراج زكاة المال عند جمهور الفقهاء. ونقل النووي عن الشيرازي قوله في المجموع شرح المهذب: كل مال وجبت فيه الزكاة بالحول والنصاب لم يجز تقديم زكاته قبل أن يملك النصاب لأنه لم يوجد سبب وجوبها فلم يجز تقديمها كأداء الثمن قبل البيع والدية قبل القتل وان ملك النصاب جاز تقديم زكاته قبل الحول. واستدل الجمهور على جواز تعجيل الزكاة: ما أخرجه أبو داود عن علي بن أبي طالب رضي الله عنه «أن العباس سأل رسول الله صلى الله عليه وسلم في تعجيل زكاته قبل أن يحول الحول، مسارعة إلى الخير، فأذن له في ذلك».

“Adapun ibadat yang waktu tidak menjadi sebab kewajipannya, sekalipun ia termasuk dalam syarat wajib seperti zakat, maka Jumhur Ulamak mengharuskan keluar zakat harta walaupun tidak sampai haulnya. Imam Nawawi menaqalkan pandangan Imam Syairazi yang dinyata dalam kitab Majmu’ syarah bagi Muhazzab: Setiap yang wajib keluarkan zakat apabila cukup haul dan cukup nisab tidak harus diperawalkannya sebelum betul-betul cukup nisab kerana ketiadaan sebab wajibnya. Ini sepertilah didahulukan bayar wang sebelum jual beli dan didahulukan bayar diat sebelum membunuh. Namun, sekiranya nisab cukup, maka harus sama sekali dikeluarkan zakat sekalipun tidak cukup haul. Jumhur Ulamak mengharuskan demikian berdasarkan dalil: Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud daripada Sayyidina Ali bin Abi Talib R.A bahawasanya Sayyiduna Al-Abbas ada bertanya Rasulullah S.A.W mengenai pengeluaran zakatnya sebelum cukup haul sebagai suatu usaha dalam berlumba-lumba untuk berbuat kebajikan, lalu Rasulullah S.A.W memberi izin kepadanya berbuat demikian”.

Asal dalam keluarkan zakat harta yang meliputi zakat simpanan, perniagaan, pertanian, ternakan, emas, perak ialah apabila cukup nisab dan sampai haulnya. Namun Jumhur Ulamak mengharuskan pembayaran zakat berkenaan asalkan cukup nisab walaupun tidak cukup haul terutamanya ketika berlaku wabak penyakit berjangkit. Apabila wabak melanda, semua orang akan terjejas mata pencarian rezeki khasnya bagi penjaja serta peniaga kecil-kecilan. Sudah pasti negara yang dilanda wabak akan terbantut pertumbuhan ekonomi dan tekanan hidup akan berlaku.

COVID-19 yang melanda seluruh dunia pada ketika ini merencatkan pelbagai agenda kehidupan harian dan yang paling terkesan adalah asnaf fakir miskin. Lantaran itu, sangat wajar para hartawan untuk mengeluarkan bayaran zakat hartanya lebih awal. Menjadi kebiasaan orang mengeluarkan zakat hartanya setelah cukup haul pada bulan Disember atau pada bulan Ramadhan. Namun, berdasarkan situasi wabak yang terjadi ini, maka bolehlah dibayar lebih awal pada bulan Syaaban atau April ini agar dapat diagihkan sesegera mungkin kepada asnaf zakat termasuk yang terjejas akibat COVID-19. Manakala zakat fitrah hendaklah dibuat pembayaran pada bulan Ramadhan dan sebaik-baiknya pada awal Ramadhan, ini berdasarkan juga pendapat Imam Syafie.

ASRI ED-DIWANIE – HARAKAHDAILY 6/4/2020