Kebenaran operasi kilang arak dibatalkan

KUALA LUMPUR: Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, kebenaran beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diberikan kepada kilang minuman keras, Heineken sudah pun dibatalkan.

Advertisement

Beliau berkata, perkara tersebut dibatalkan pagi ini, kerana ianya dilihat tidak selari dengan dasar kerajaan.

Demikian kata beliau semasa memaklumkan perkara itu menerusi laman Twitternya hari ini.

Terdahulu, beliau meminta tindakan diambil segera ke atas kilang minuman keras Heineken yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP.

Katanya, ia tidak selari dengan dasar yang diambil dan diputuskan kerajaan dan tindakan perlu diambil segera berhubung isu berkenaan.

Semalam tular di media sosial surat yang didakwa dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi kebenaran kepada kilang terbabit beroperasi ketika PKP.

Ia bagi memastikan bekalan minuman keras mencukupi sepanjang tempoh PKP dilaksanakan.

Bagaimanapun, surat kebenaran operasi berkenaan turut mengundang pelbagai pendapat umum yang mahukan penjelasan pihak berwajib berhubung isu itu. – HARAKAHDAILY 6/4/2020