Negara maju akur angkara Covid-19

PASIR PUTEH: Wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia sekarang terlalu banyak pengajaran perlu diambil iktibar setiap manusia.

Malah penularan Covid-19 berbeza dengan malapetaka lain termasuk peperangan yang pernah berlaku sebelum ini.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, rakyat yang lemah dan pemimpin yang hebat boleh mengambil pengajaran daripada Covid-19.

Advertisement

Katanya, negara maju yang memimpin dunia pun terpaksa akur dengan kehadiran pandemik Covid-19 ini.

“Walau negara maju sekalipun kalau tiada perancangan yang baik, akan menjadi masalah besar kepada rakyat.

“Lebih-lebih lagi rakyat biasa yang lemah tambah dhaif kerana mereka tidak boleh keluar bekerja kerana kawalan pergerakan dilakukan kerajaan bagi mengelakkan penularan wabak,” katanya di sini.

Kata beliau, apa yang berlaku sekarang adalah daripada Allah supaya manusia memahami kuasa sebenar milik Allah.

“Menyembuhkannya juga adalah milik Allah. Semua itu Allah sudah gariskan dalam al Quran.

“Contohnya ada benda yang kita boleh makan, ada yang tidak boleh dimakan. Sebab itulah Islam menekankan aspek kebersihan dan memakan benda halal,” katanya.

Begitu juga wabak Covid-19 yang melanda sekarang kerana manusia memakan binatang yang diharamkan.

Kata beliau pernah sebelum ini menular penyakit Japanese Encephalitis (JE) yang berasal daripada babi dan burung liar.

“Babi diharamkan dalam Islam sejak awal lagi. Tetapi manusia rakus, memakannya tanpa dipedulikan walaupun Allah telah menegaskan binatang berkenaan haram dimakan,” ujarnya.- HARAKAHDAILY 5/4/2020