Pembesar bangsa Mongol yang memeluk Islam

SUATU yang sukar berlaku dalam sejarah ialah bangsa yang menjajah memeluk agama bangsa yang dijajah. Kerana yang biasa terjadi adalah bangsa dijajah terpaksa menganut ajaran penjajah. Tetapi ia berlaku dalam sejarah Islam. Terdapat beberapa pandangan mengenai bilakah bemulanya bangsa Mongol memeluk Islam.

Ada yang menyebutkan ia sudah mula berlaku sebelum kejatuhan Kota Baghdad (656 Hijrah), dan ada yang mengatakan ia selepas umat Islam menang di Ain Jalut (658 Hijrah). Menurut Dr Raghib As Sarjani, pengislaman Mongol berlaku selepas 35 tahun kekalahan mereka di Ain Jalut. [1]

Di bawah ini, saya nyatakan beberapa tokoh besar mereka yang memeluk Islam berdasarkan tulisan Buya Hamka dalam bukunya Sejarah Umat Islam.

Advertisement

(i) Abaqa Khan

Merupakan anak kepada Hulagu Khan. Perang Salib yang masih berlangsung menyebabkan pasukan Salib terutama Pendeta Kristian berusaha mendekatinya supaya memeluk Kristian. Abaqa Khan mengahwini puteri Kaisar Byzantin tetapi tetap tidak memeluk ajaran Kristian. Dalam masa yang sama juga, para Ilmuan Islam turut mendekati Sultan bagi mengelakkannya berada di pihak Kristian seterusnya bersekongkol untuk memerangi umat Islam. Setakat catatan, Abaqa Khan tidak memeluk ajaran Kristian dan tidak pula memeluk agama Islam.

(ii) Nikodar Khan (Sultan Ahmad Khan)

Merupakan saudara bagi Abaqa Khan, dilantik kerana beliau tidak mendapati dalam kalangan puteranya yang layak menggantikannya. Berbeza dengan abangnya, Nikodar sejak dari kecil sudah dibaptiskan dan memakai nama Nicholas. Tetapi apabila dilantik menjadi Raja, beliau berkira-kira sama ada kekal dalam ajaran Kristian atau memeluk Islam memandangkan hampir semua rakyatnya beragama Islam.

Akhirnya, membuat keputusan memeluk Islam dan menukar namanya kepada Ahmad Khan. Disebabkan keislamannya, maka berlakulah pertentangan daripada pihak atasan Mongol yang berakhir dengan perang saudara. Sultan Ahmad Khan mati dibunuh oleh Aragon Khan.

(iii) Aragon Khan

Beliau juga telah memeluk Islam tetapi bersifat anti Islam. Selepas Berjaya menggulingkan Menteri Kanannya, digantikannya pula dengan seorang Yahudi bernama Sa’dud Daulah. Perwatakannya yang bermulut manis tetapi dalam diam-diam melemahkan pengaruh Islam. Segala usaha Kristianisasi disokong penuh termasuk menjalin hubungan dengan Paus Nicolas IV di Rom. Segala yang berkaitan dengan Islam disekat dan dihalang. Sultan Aragon Khan akhirnya mati akibat sakit yang kronik. Umat Islam tanpa berlengah lagi, mengambil tindakan untuk membunuh si Sa’dud Daulah.

(iv) Kaikha Khan

Juga saudara kepada Aragon Khan, pernah menjawat sebagai Gabenor di Anatolia. Terkenal dengan sikapnya yang suka berfoya-foya dan tidak memiliki jiwa untuk menjadi pemerintah yang baik. Dikatakan beliau mengubah penggunaan dinar emas dengan wang kertas. Menurut Buya Hamka, Parsi (Iran) merupakan Kerajaan pertama yang menggunakan wang kertas selepas China, lalu selepas ratusan tahun barulah diperkenalkan di Eropah. Kaikha Khan digulingkan oleh Baidu Khan, cucu kepada Hulagu Khan. Tetapi tidak bertahan lama kerana beliau pula dijatuhkan oleh Ghazan Khan.

(v) Ghazan Khan

Kehebatan dan pengaruh Ghazan Khan, ketika memeluk Islam berjaya membawa bersamanya 100,000 tentera untuk turut memeluk Islam. Tetapi ia tidak menjadikan Sultan Ghazan Khan menjiwai ajaran Islam dengan baik lalu mengikutinya. Kerana Ghazan Khan sendiri memerangi beberapa wilayah Islam, dan memberi kerjasama kepada pihak Kristian untuk memerangi Islam. Selain itu, beliau turut mendukung penuh ajaran Syiah Imamiah. Kisah Ibnu Taimiah yang masyhur dengan fatwanya terhadap Mongol itu adalah berlaku pada zaman Sultan Ghazan Khan. (akan dikisahkan dalam siri yang lain untuk mengelakkan terlalu panjang). [2]

(vi) Sultan Abu Said

Merupakan Sultan terakhir Mongol bagi keluarga Hulagu Khan. Pada zaman ini berlaku perang saudara yang hebat dan kelemahan pentadbiran yang ketara hingga membawa kepada kejatuhan. Diriwayatkan juga pada era Sultan Abu Sa’id ini jugalah Ibnu Batutah sempat bertemunya di sekitar abad ke-13 Masihi. Kemangkatan Sultan Abu Sa’id menyebabkan Iran kembali berpecah hingga muncul pula Sultan yang agung, Timurlane.

(vii) Timur Lane atau Tamerlane

Dilahirkan pada tahun 1336 Masihi, mula mencipta nama pada tahun 1380 Masihi. Sebagaimana Genghis Khan, beliau juga seorang yang bengis dan memerangi Islam dengan zalim dan tanpa perikemanusiaan.. Pada tahun 1393 Masihi, Kota Baghdad sekali lagi ditakluk oleh Mongol di tangan Timur Lane. Begitu juga banyak lagi wilayah Islam lainnya tumpas di tangan beliau.

Bagai buku bertemu ruas, sebagaimana Hulagu Khan berdepan dengan Saifuddin Qutuz, pahlawan ulung pada waktu itu, Timurlane juga terpaksa berdepan dengan Sultan Barquq, iaitu Sultan Kerajaan Mamalik di Mesir. Sejarah sekali lagi menyaksikan bumi Mesir terselamat jasa Sultan Mamluk.

Pada waktu ini juga telah pun tertegaknya Khilafah Turki Uthmaniah. Pada tahun 1402 Masihi, Timurlane mula menjarah wilayah Ankara di era Sultan Bayazid.

Menurut Buya Hamka, walaupun begitu kejam dan bengis, Timurlane begitu menyukai aktiviti tasawuf termasuklah menganuti fahaman Syiah dan menyukai aktiviti tarikat Naqsyabandiah. Timurlane meninggal dunia dalam perjalanan pulangnya ke China (Tiongkok). Legasi Timurlane masih diteruskan lagi oleh anak-anaknya selepas itu hingga berakhir sekitar tahun 1500M. [3]

Pengajaran

(i) Latar pengislaman dan pemerintahan Sultan Mongol hampir kesemuanya adalah di Wilayah Iran.

(ii) Ada yang masuk Islam kerana terkesan dengan kebaikan ajaran Islam, ada juga yang memeluk Islam atas dasar politik, dan ada juga yang memeluk Islam tetapi jahil mengenai praktikalnya menyebabkan mereka terus melakukan kezaliman.

(iii) Sekalipun sudah memeluk Islam, sebahagiannya masih kekal dengan sikap keras dan bengis mereka disebabkan ia sudah begitu sebati dengan jiwa keras mereka.

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN

Nota kaki dan rujukan:

[1] Kisah Pengislaman Bangsa Mongol (Tatar) tulisan 12 Jun 2018
[2] Daulah Uthmaniah oleh Dr. Ali Muhammad AS Solabi
[3] Sejarah Umat Islam Buya Hamka edisi kemasikini terbitan PTS – HARAKAHDAILY 6/4/2020