PKP: Terima kasih k’jaan batal operasi kilang arak

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan membatalkan operasi kilang arak disambut baik Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) dengan menzahirkan ucapan terima kasih kepada barisan Kabinet Menteri dan Perdana Menteri.

Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin berkata keputusan itu menggambarkan ketegasan kerajaan untuk terus mengekalkan disiplin Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mengambil berat sensitiviti masyarakat majoriti Islam di Malaysia.

“Perlu diingat, bantahan yang dibuat oleh Pemuda PAS bukanlah untuk menentang polisi kerajaan. Namun inilah terjemahan yang cuba ditonjolkan PAS melalui saluran yang tepat dalam membantu menguatkan kerajaan, dan menjadi suara bersama dalam membangunkan negara.

Advertisement

“Pemuda PAS dan seluruh rakyat yakin, dengan keterbukaan kerajaan yang sudi mendengar suara rakyat, ditambah pula dengan kecekapan kerajaan dalam menangani wabak besar Covid-19.

“Kerajaan yang terbina hasil kebijaksanaan Yang Dipertuan Agong tempoh hari akan memberi sinar besar buat negara kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, pihaknya menerima pengumuman pembatalan berkenaan melalui Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga ahli di dalam Jemaah Menteri yang bermesyurat pada pagi tadi, susulan tularnya surat kebenaran meneruskan aktiviti operasi kilang arak yang menjadi gempar semalam.

Jelasnya, Pemuda PAS berjanji akan terus membantu, dan menjadi saluran terbaik dalam menyampaikan hasrat tulen rakyat Malaysia dan anak muda, khususnya dalam menjayakan agenda nasional yang hampir pudar selama 22 bulan.

Menurutnya, gandingan ini akan terus dipertingkatkan bagi menyatakan kesungguhan bersama bagi menjaga seluruh rakyat di bumi bertuah ini.

“Sepertimana yang disebut oleh Perdana Menteri tempoh hari, ‘no one left behind! (tiada golongan akan tercicir). Maka inilah suara kami, ‘we won’t left you to bring our nation together!’ (kami tidak akan meninggalkan kamu untuk membawa negara kita bersama),” ujarnya.- HARAKAHDAILY 6/4/2020