Teknokrat dan imbangan Islam

MENGIMBANGI kefahaman

(1) Sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita sering berbincang mengenai idea Kerajaan Teknokrat. Iaitu kepimpinan negara oleh golongan pakar lebih diutamakan.

Idea yang bernas tersebut perlu difahami dengan teliti supaya ia tidak disalah fahami. Iaitu apabila ia dijadikan peluang untuk orang jahat menguasai kepentingan atas nama profesional.

(2) Contohnya, sejauh manakah kita boleh katakan pemegang PhD itu sebagai seorang yang layak? Seolah-olah ukuran kelayakan sebagai Teknokrat itu hanya pada PhDnya.

Perlu faham bahawa PhD itu bukan semata-mata ukuran bagi kelayakan seseorang itu memerintah negara atas tiket Teknokrat. Tidak dinafikan keperluan untuk belajar secara bersijil.

(3) Imam Mawardi di dalam الأحكام السلطانية meletakkan sebanyak 7 syarat sebagai pimpinan. Pertama adalah adil, manakala yang kedua adalah ilmu, iaitu ilmu agama.

Advertisement

Keilmuan yang diletakkan oleh al-Mawardi ini dihuraikan oleh Dr Abdul Razaq As-Sanhuri dalam kitabnya فقه الخلافة وتطورها ialah kepakaran sehingga ke tahap mampu berijtihad dari sudut usul dan hukum.

(4) Beliau menyifatkan keperluan syarat ilmu itu kerana;

لكي يكون قادرًا على تنفيذ شريعة الإسلام، ودفع الشبهات عن العقائد، وإعطاء فتاوى في المسائل التي تقتضيها، وإصدار الأحكام استنادًا إلى النصوص أو إلى الاستنباط؛ لأن الغرض الأساسي للخلافة هو صيانة العقائد وحل المشاكل والفصل في المنازعات

“Supaya ada kemampuan melaksanakan Syariat Islam, mengekang keraguan terhadap akidah, memberi fatwa dalam masalah yang berkaitan, mengeluarkan hukum bersandarkan kepada nas atau istinbat. Ini kerana tujuan asas bagi khilafah itu ialah memelihara akidah dan menyelesaikan permasalahan, serta membuat keputusan dalam perselisihan.”

Pakar yang baik

(1) Di dalam bab الولاية Imam Mawardi ada mengisyaratkan mengenai ‘peranan khusus’ yang boleh dimaksudkan dengan Teknokrat. Tetapi mestilah terikat dengan maqasid (tujuan) syarat itu diletakkan.

Bahasa mudahnya keutamaan itu terletak pada pelaksanaan Islam. Kalau Kerajaan dipimpin oleh orang pakar sekalipun, tapi dalam bab hukum dilanggar, tidak bermakna juga.

Contohnya pakar ekonomi, yang melaksanakan dasar dasar Kapitalis. Sama sahaja, kepakarannya itu digunakan untuk menjulang sistem yang menindas rakyat.

(2) Imam Mawardi terlebih dahulu meletakkan syarat pertama, iaitu adil. Adil yang dimaksudkan oleh beliau bukanlah adil yang diterjemahkan oleh Blok Barat (Liberal) iaitu hak kesamarataan.

Bukan juga yang diterjemahkan oleh Blok Timur (Sosialis) iaitu tiada pemilikan peribadi. Akan tetapi yang dimaksudkan oleh beliau ialah adil menurut perspektif Islam, iaitu meletakkan sesuatu pada tempatnya.

(3) Adil diterjemahkan oleh Islam sebagai percanggahan dengan zalim. Liberal merasakan ekonomi Kapitalis adalah satu keadilan. Iaitu ‘siapa ada modal, dia berhak berniaga apa sahaja’.

Sedangkan hakikatnya ia menzalimi rakyat apabila kekayaan itu dibolot oleh golongan tertentu sahaja. Jelas membuktikan bahawa Kapitalis bukanlah adil, akan tetapi zalim.

(4) Golongan Sosialis pula merasakan bahawa untuk mewujudkan sistem yang adil, tiada seorang pun yang tak dibenarkan kaya. Semua hasil kerja mesti disalurkan kepada negara.

Adil menjadi syarat

(1) Islam mentakrifkan adil itu dengan ‘meletakkan sesuatu pada tempatnya’. Justeru, sesiapa sahaja boleh yang berusaha untuk kaya. Namun, sebahagian daripada kekayaan yang berlebihan itu mesti dizakatkan.

Zakat yang dibayar oleh orang kaya akan disalurkan kepada orang miskin, antaranya bagi mengelakkan berlakunya monopoli dan mengelakkan membesarkan jurang antara miskin dan kaya.

(2) Dr Abdul Razaq Sanhuri menghuraikan syarat pertama ini dengan menyatakan bahawa tujuan pemerintahan Islam itu ditegakkan ialah bagi mengekang kezaliman.

Ia disandarkan dengan firman Allah S.W.T;

وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ ۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا ۖ قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ

“Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia”. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: “(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)”. Allah berfirman: “(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.”

(al-Baqarah: 124)

(3) Iaitu orang-orang yang zalim tidak selayaknya menjadi pemerintah, ini kerana pemerintah yang zalim tidak melaksanakan syariat Allah S.W.T, apatah lagi untuk bertindak adil.

Di sini juga kita dapat fahami bahawa adil itu mestilah mengikut neraca al-Quran dan Sunnah, yang telah digariskan oleh Allah S.W.T. Bukannya ditafsirkan mengikut andaian.

Teknokrat dalam al-Quran

(1) Apa yang ingin ditekankan di sini ialah Kerajaan Teknokrat sekalipun mesti terikat dengan nilai-nilai Islam. Bukan dilepaskan secara bebas begitu sahaja dengan tafsiran akal sendiri.

Konsep Kerajaan Teknokrat dibincangkan di dalam kitab-kitab para Ulamak antaranya Imam Mawardi di dalam الأحكام السلطانية tadi, yang menjelaskan mengenai pembahagian bidang kuasa mengikut kepakaran masyarakat.

(2) Contoh kepimpinan Teknokrat boleh dicontohi melalui Kisah Raja Iskandar Zulqarnain yang memanfaatkan tenaga kepakaran masyarakat-masyarakat setempat di dalam mendirikan tembok keselamatan negara.

Kisah tersebut digambarkan oleh Allah S.W.T di dalam Surah al-Kahfi ayat 94 hingga 96. Menggambarkan penyelesaian kepada krisis serangan Yakjuj Makjuj dengan menggunakan sumber kepakaran, bukan dengan cukai.

(a) Kepakaran yang Allah berikan kepada Raja Iskandar Zulqarnain ialah penggunaan bahan kimia. Kepakaran ini dimanfaatkan untuk membantu membina keselamatan negara.

(b) Masalah cukai boleh diselesaikan dengan menyuburkan kepakaran dan tenaga masyarakat setempat. Contohnya kepakaran orang-orang tertentu dalam perniagaan seharusnya dimanfaatkan bagi meningkatkan ekonomi negara.

Orang kaya tidak sepatutnya menjadi bebanan negara, sepertimana yang diamalkan oleh Kapitalis. Bukan juga dihapuskan serta merta kekayaan mereka seperti Sosialis.

(5) Selain daripada kisah Raja Iskandar Zulkarnain, antara gambaran Kerajaan Teknokrat juga boleh diteladani daripada kisah Nabi Yusuf A.S yang memilih bidang kepakarannya untuk membantu negara.

Teknokrat cara Islam

(1) Sebagai seorang pimpinan, seharusnya memikirkan penyelesaian masalah rakyat dengan solusi. Bukannya menyelesaikan ketirisan kewangan negara yang dilakukan oleh orang-orang tertentu, dengan membebankan rakyat.

(2) Antara elemen ‘adil’ yang disebut oleh al-Quran di dalam kisah Raja Iskandar Zulqarnain dan Nabi Yusuf A.S ialah;

قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ

“Dia menjawab: “(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu)”

(al-Kahfi: 95)

Dan juga firmanNya;

قَالَ اجْعَلْنِي عَلَىٰ خَزَائِنِ الْأَرْضِ ۖ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ

“Yusuf berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya”.

(Yusuf: 55)

Iaitu meletakkan keutamaan kepada menyelesaikan krisis dan kejujuran dalam memelihara aset negara, berbanding memeras wang rakyat atau mencari peluang buat duit dengan jawatan.

(3) Konsep Kerajaan Teknokrat ini telah pun dilaksanakan di Barat seperti Itali sejak 2011, Hungary sejak 2009, Republic Czech sejak 2009, Romania sejak 2015 dan lain-lain.

(4) Namun, kekurangan yang mesti diperhatikan ialah elemen integriti sekalipun sebagai seorang pakar. Sistem Kerajaan Teknokrat tidak boleh terpisah daripada elemen-elemen agama.

Ia tidak boleh di-Sekularisasikan hanya semata-mata nak dilihat mesra dakwah. Ini kerana yang ingin dipersembahkan melalui Teknokrat itu ialah sistem Islam, bukan Teknokrat yang terasing daripada Islam.

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 6/4/2020