Ideologi dan sejarah: Realism VS Idealism

LATAR belakang

(1) Sejak dahulu kala kita biasa mendengar pertembungan antara Idealism dan Realism. Dalam artikel ini saya tidaklah berniat untuk memperincikan takrif atau sejarahnya.

(a) Secara kasarnya, Realism diasaskan oleh Aristotle (385-323 SM) yang memandang kebendaan sebagai realiti. Iaitu kebenaran itu terletak pada penyaksian pancaindera.

(b) Manakala Idealisme disandarkan kepada guru Aristotle, iaitu Plato (429-347 SM). Ia memandang mental dan idea itu sebagai satu realiti. Ini takrif sekadar secara kasarnya.

(2) Dari sudut realitinya, kita boleh fahami bahawa Idealism biasanya meyakini pengalaman, budaya, pendidikan dan adat kebiasaan. Idealism dilihat bertentangan dengan Realism.

Realism lebih kepada semasa, dan terikut dengan perubahan sekeliling berbanding berpegang dengan kebenaran diri sendiri. Bahkan Realism sering menganggap Idealism itu sebagai sampah.

(3) Contoh Idealism ialah Martin Luther, yang merupakan salah seorang tokoh kebangkitan Barat. Membawa idea-idea yang menggugat pemerintahan bergereja dan mencetuskan Protestan.

Sama juga seperti Adolf Hitler yang agak keras dengan pendirian dan keyakinannya terhadap kejahatan Yahudi dan ideologi Komunism. Ramai lagi untuk dijadikan contoh.

(4) Contoh tokoh Realism seperti Machiavelli, Thomas Hobbes dan ramai lagi. Dari sudut kekuasaan, mereka meletakkan keutamaan kepada ‘power’ berbanding dengan moral.

Advertisement

Gambaran kasar

(1) Idealism yakin bahawa di sana terdapatnya nilai moral sejagat, yang didasari dengan keyakinan dalam kebaikan yang memang sedia ada melekat pada diri manusia.

Aliran ini meyakini bahawa moral, organisasi, hukum dan perjanjian akan melawan dan bertentangan dengan sifat anarki di peringkat Antarabangsa, di mana-mana pun.

(2) Manakala Realism pula berpendapat bahawa manusia memiliki sifat keegoan yang mementingkan diri sendiri dan mereka tidak mengenal erti kewujudan pemerintahan.

Justeru, mereka tidak akan terikat dengan mana-mana ketetapan. Tidak terikat dengan mana-mana moral. Bebas melakukan apa sahaja, asalkan matlamat (power) itu tercapai.

(3) Realism inilah yang melahirkan teori Machiavelli yang sangat terkenal pada hari ini, dan diamalkan secara meluas. Bahasa mudahnya, asalkan ada power, moral letak tepi.

Idealis dilihat menggunakan saluran seperti organisasi untuk mencari jalan damai. Manakala Realism pula perlukan power untuk memaksa wujudnya perdamaian.

(4) Beginilah gambaran kasar antara Idealism, dan Realism. Kedua-duanya berasal daripada Falsafah Yunani, kemudian berkembang dan menjadi realiti dalam pemerintahan dunia.

Hakikatnya kedua-dua aliran ini sangat memberi kesan terhadap realiti hari ini, sehingga mengheret kepada dunia politik dan sistem pemerintahan.

Dunia politik cara Realism

(1) Dari sudut politik secara khusus, Idealis menganggap bahawa persaingan politik akan dimenangi oleh mereka yang mempunyai idea yang terbaik untuk dipersembahkan.

Manakala Realis pula tidak fikirkan bab idea yang dianggap fantasi itu. Yang penting berkuasa. Bagaimana nak berkuasa, itulah persoalan mereka. Tanpa mengira apa itu persaingan idea.

Ini kerana Realis beranggapan bahawa politik itu adalah kuasa, bukannya idea. Sebab itu di awal tadi, Realis menganggap bahawa Idealis sebagai sampah. Kuasa adalah segala-galanya.

(2) Realis melihat bahawa realiti telah membuktikan bahawa dalam persaingan politik, ia tidak dimenangi oleh mereka yang ada idea. Akan tetapi dimenangi oleh mereka yang pandai strategi.

Bahkan Realis melihat bahawa, orang Idealis kalau menang sekalipun, bila sudah berkuasa tetap akan jadi jahat. Realis mengatakan bahawa Idealis biasanya tidak pernah diuji dengan kuasa atau pangkat.

Apabila diuji, barulah terserlah kerakusan mereka, dan menggadaikan idea-idea yang diperkenalkan dahulu. Inilah yang dikritik oleh Realis terhadap Idealis mengikut realiti.

(3) Machiavelli yang merupakan tokoh Realism dalam sejarah hidupnya pernah mengkritik Pope sehingga beliau dilabel sebagai syaitan, dan bukunya diharamkan oleh Gereja Katholik.

Sepertimana yang saya katakan, teori Machiavelli sangat sinonim dengan Realism. Dengan berasaskan Realism, ber’evolusi’ kepada teori Machiavelli ‘matlamat menghalalkan cara’.

Machiavelli dan Luther

(1) Dalam lipatan sejarah, Machiavelli (1469-1527) hidup sezaman dengan Martin Luther (1483-1546) yang merupakan tokoh Idealis yang menyeru ke arah menghapuskan pemerintahan gereja Katolik.

Cumanya Machiavelli di Itali, manakala Martin Luther di Jerman. Kedua-dua hidup di era kejatuhan Kristian Katholik yang menyaksikan pembunuhan rakyat yang cukup ramai.

(2) Sayyid Qutb menyatakan di dalam المستقبل لهذا الدين bahawa kejatuhan Kristian Katolik merupakan satu catatan sejarah penting bahawa kepincangan berlaku dalam dunia Barat.

Beliau menyatakan bahawa rakyat yang dibunuh sahaja seramai 300,000 orang, manakala ribuan dari kalangan mereka dibakar hidup-hidup atas istilah ‘jangan setitik darah pun jatuh ke bumi’.

(3) Machiavelli dilabel oleh gereja sebagai ‘Old Nick’ yang merupakan watak syaitan. Bukunya yang diharamkan, ditulis tanpa tajuk pada 1513. Setelah 5 tahun kematiannya penerbit meletakkan tajuk The Prince.

Gereja ketika itu ‘sakit kepala’ berhadapan dengan kedua-dua kelompok ini. Kedua-duanya mempunyai matlamat untuk menjatuhkan gereja, tetapi cara yang berbeza.

(4) Sepertimana yang saya katakan, Machiavelli seolah-olah mengatakan apa gunanya idea-idea, yang penting sekarang ialah jatuhkan gereja Katolik atau sistem Teokrasi zaman itu.

Manakala Martin Luther pula menggunakan idea-ideanya untuk meniupkan kesedaran terhadap ketahyulan Kristian Katolik ketika itu yang dianggap sudah sesat jauh dari ajaran asal.

Politikus bertopeng

(1) Sejarah sudah tinggal sejarah. Pengikut kedua-duanya ada yang diisytiharkan murtad, dan ada yang dibakar hidup-hidup sehingga dibangunkan tugu peringatan mereka.

Hakikatnya sama ada Realis atau Idealis, kedua-duanya boleh dilihat cerminannya pada hari ini. Ada politikus yang benar-benar seorang Idealis dan ‘istiqamah’ dengan ideanya.

Namun, ada juga politikus yang berpura-pura Idealis. Untuk mendapatkan kuasa, dia akan memperkenalkan macam-macam idea, sedangkan dia tidak beriman pun dengan ideanya.

(2) Sebab itulah di awal penulisan The Prince, Machiavelli seolah-olah tertanya adakah orang baik sememangnya ditakdirkan kalah dalam hal keduniaan?

Realiti hari ini apabila politikus itu seorang Realis yang teracuan dengan topeng Machiavelli. Untuk mendapatkan kuasa, ketepikan soal moral atau apa sahaja.

Apabila sudah berkuasa, akan memperlihatkan gaya kuku besinya sepertimana yang pernah berlaku dalam pemerintahan gereja Katolik sehingga mencetuskan Reinassance.

(3) Politikus hari ini kadangkala dilihat mengemukakan pelbagai idea. Sekejap bermuka muka, sekejap Liberal, sekejap Sosialis, sekejap Islam dan banyak lagi topeng-topengnya.

Maka kita boleh kenal bahawa biasanya strategi ini diamalkan oleh aliran Machiavelli walaupun masih berbaki secebis keinginan untuk mengikut saluran demokrasi atau jalan diplomasi.

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 7/4/2020