Terus optimis sekat COVID-19 – Dr Khairudin

KUALA NERUS: Rakyat diingatkan agar terus kekal optimis serta patuh kepada arahan kerajaan yang mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Advertisement

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, meskipun kes positif Covid-19 nampak bertambah tetapi peratusan kes aktif berlaku penurunan setiap hari.

“Walaupun jumlah kes positif terus bertambah saban hari mencecah 3,662 kes setakat semalam, namun peratusan kes aktif berbanding jumlah kes pada setiap hari menunjukkan trend penurunan sejak Perintah Kawalan Pergerak (PKP).

“PKP fasa pertama bermula dilaksanakan pada 18 hingga 31 Mac lalu, dan PKP fasa kedua pula 1 hingga 14 April ini. Peratusan kes aktif telah menurun dari 92 peratus kepada 71 peratus (menurun sebanyak 21 peratus).

“Ini menunjukkan keberhasilan pelbagai usaha proaktif oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam mengawal bilangan kes baharu.

“Dan meningkatkan bilangan pesakit yang sembuh disamping bilangan kematian yang direkodkan setiap hari kekal rendah,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakah, semalam.

Justeru, kata beliau bagi meningkatkan keupayaan makmal di seluruh negara agar mencapai sasaran sehingga 16,500 ujian sehari, KKM akan menggunakan mesin ujian automatik dari China dan kit pengesanan pantas antigen baharu dari Korea Selatan.

Menurutnya, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah telah mengumumkan mengenai penglibatan Malaysia dalam usaha antarabangsa untuk menguji beberapa ubat dalam merawat Covid-19.

“Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kumpulan etnik dan peringkat umur untuk terus bersikap optimis dan memberikan kerjasama yang terbaik kepada kerajaan.

“Patuhlah kepada arahan PKP untuk memutuskan rangkaian penularan wabak Covid-19. Jika tiada keperluan mendesak duduklah kekal di rumah masing-masing,” tegasnya.

Sehubungan itu, kata Ahli Parlimen Kuala Nerus bahawa kerajaan yang diterajui oleh Perikatan Nasional (PN) hari ini adalah kerajaan berkebajikan menepati konsep ta’awun.

“Dalam kita menghadapi musibah Covid-19 ini, seluruh rakyat diberikan perlindungan sebaiknya dalam pelbagai aspek lebih-lebih lagi golongan B40 demi memastikan sekurang-kurangnya keperluan setiap orang mencukupi.

Sebelum ini, kata Dato’ Khairuddin, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dengan nilai keseluruhan berjumlah RM250 bilion diumumkan bagi melindungi rakyat serta menyokong perniagaan dan mengukuhkan ekonomi.

“Petang tadi (6 April) pula, Pakej Prihatin PKS (tambahan) bernilai RM10 bilion diumumkan khusus untuk membela usahawan dan pekerja dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menyumbang sekitar 40 peratus kepada ekonomi negara,” jelasnya.

Menurutnya, motto ‘no one left behind’ yang disebut oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin kini direalisasikan satu persatu agar semua orang mendapat manfaatnya. – HARAKAHDAILY 7/4/2020