Covid-19: 181 kakitangan kesihatan disahkan positif

Foto Solahuddin al-Idrus

KUALA LUMPUR: Seramai 181 dijangkiti setakat ini dan dua kematian sebelum ini telah direkodkan kerana Covid-19 yang melibatkan kakitangan kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua kematian tersebut menerima jangkitan Covid-19 bukan semasa bertugas di hospital tetapi mempunyai rekod perjalanan ke Turki dan Indonesia.

Advertisement

Beliau menerangkan, daripada 181 kakitangan hospital yang dijangkiti hanya 122 daripada mereka dijangkiti di luar kawasan hospital iaitu terkena jangkitan seperti menghadiri majlis perkahwinan.

“Daripada jumlah 181 orang, 67 peratus iaitu 122 dijangkiti di luar kawasan hospital bermaksud mereka menghadiri contohnya majlis perkahwinan dan sebagainya.

“Dan mereka datang ke hospital ada yang menjangkiti rakan-rakan mereka dan sebagainya,” kata Noor Hisham menerusi sidang media harian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Tegasnya, tidak ada seorang pun kakitangan hospital yang berkhidmat di wad Covid-19 atau unit rawatan rapi (ICU) yang dijangkiti setakat ini.

Melainkan katanya, hanya 36 kakitangan kesihatan telah dijangkiti semasa berkhidmat di hospital sewaktu melakukan prosedur kepada pesakit yang menyembunyikan hubung kait dengan kontak rapat positif Covid-19.

“36 ini dijangkiti sebab apabila mereka melaksanakan sesuatu prosedur pesakit tersebut tidak memberikan atau memaklumkan kepada doktor bahawa mereka ada hubung kait dengan kontak rapat jadi mereka tidak mematuhi ataupun tidak memakai pelindung PPE,” kata Noor Hisham.

Ujarnya, ini bermaksud kakitangannya telah mengamalkan langkah pencegahan dan memakai PPE semasa melaksanakan tugas.

Maka isu jangkitan meningkat di hospital adalah hanya 20 peratus manakala 80 peratus lagi jangkitan berlaku semasa di luar berkhidmat.

Beliau juga memaklumkan barisan hadapan kesihatan disaring secara berkala, setakat ini KKM telah menyaring lebih 2,000 kakitangan dan hanya 181 disahkan positif Covid-19.

Noor Hisham turut menyangkal dakwaan kekurangan pakaian pelindung kesihatan PPE.

“PPE setakat ini kita tidak ada masalah kekurangan PPE, tetapi ramai yang mendermakan PPE kepada kita dan kita juga tak mengharapkan pengimportan PPE,” tambahnya.

Pihaknya mengucapkan setinggi penghargaan atas inisiatif pelbagai industri seperti industri fesyen, Jabatan Penjara dan kakitangan hospital yang membuat PPE untuk kegunaan kakitangan hospital.

“Ini adalah satu inisiatif yang bagus supaya kita tak bergantung kepada PPE dari luar negara dan juga staf kita atau warga kementerian kesihatan baik mereka banyak berinovasi dan punyai idea kreatif.

“Contohnya kita membuat ‘shield mask’ kos itu hanya RM2 sahaja dibandingkan dengan pembelian kita RM30.

“Jadi inovasi ini boleh digunapakai untuk kita guna dan juga perluaskan penggunaan di negara kita,” ulasnya. – HARAKAHDAILY 8/4/2020