‘Frontliners’ boleh solat jamak ketika wabak

wabak

DALAM risalah Al-Buhuth Al-Islamiah: Yajuz Al-Jam’u Baina Al-Sholawat Lil Atibba’ Wa Musa’idihim Khilal Muwajahah Waba’ Kuruna tulisan Lu’iy Ali menyatakan bahawa para Ulamak berkaliber telah mengharuskan solat jamak bagi Frontliner yang berhadapan wabak virus Corona:

Advertisement

فرخص الشرع الحنيف لمن كانت حالته هكذا أن يجمع بين الصلوات التي يجوز فيها الجمع من غير قصر، فيجمع بين الظهر والعصر والمغرب والعشاء، إما تقديما وإما تأخيرا بما يتناسب مع ظروف عمله والحالات التي يتابعها، وذلك متى علم الأطباء أو مساعدوهم بخروج الوقت قبل فراغهم من القيام بواجباتهم.

“Maka Syariat Islam memberi kelonggaran kepada mereka yang dalam situasi wabak untuk jamak di antara solat yang boleh dijamak, tanpa diqasarkan. Maka dia boleh melakukan solat jamak antara Zohor dengan Asar dan Maghrib dengan Isya’ sama ada Jamak Taqdim atau Ta’khir sesuai dengan suasana tugasannya dan keadaan yang dia terpaksa lalui. Demikian itu, apabila para doktor atau petugas kesihatan yang membantu mereka meyakini waktu akan luput sebelum mereka selesai laksanakan tugasan yang dipikul oleh mereka”.

Islam adalah agama yang menjaga kemaslahatan manusia sejagat. Segala kesukaran yang dihadapi pasti ada hukum yang ditetapkan bagi keluar daripada kemelut berkenaan. Wabak COVID-19 yang melanda seluruh dunia adalah suatu kemudaratan yang membahayakan nyawa manusia. Para doktor dan petugas kesihatan terpaksa bertungkus-lumus menjalankan tugasan untuk menyelamatkan mangsa penyakit berkenaan. Dengan waktu yang sentiasa menghambat dan tugasan yang mengambil masa panjang tambahan dengan SOP yang perlu dipatuhi sedikit sebanyak menyebabkan waktu solat luput tanpa sempat mengerjakannya.

Oleh yang demikian, Islam memberi kelonggaran kepada para doktor, petugas kesihatan termasuklah juga petugas barisan hadapan yang meyakini luput waktu semasa dalam menjalankan tugas untuk jamak solat tanpa qasar. Boleh dikatakan fatwa seluruh negara daripada pelbagai institusi fatwa muktabar membenarkan para petugas barisan hadapan ketika wabak COVID-19 untuk menjamak solat mereka. Termasuklah negara kita, perkara ini telah dibincang secara terperinci oleh para ulamak yang pakar dalam hal berkenaan dan memberi keharusan untuk menjamakkan solat sebagaimana dinyatakan juga dalam Irsyad Fatawa siri 455 bertarikh 17 Mac 2020 yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

ASRI ED-DIWANIE – HARAKAHDAILY 8/4/2020