Kaji semula keputusan tutup operasi kilang sawit di Sabah

KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) meminta Ketua Menteri Sabah meneliti semula dan memberi kata putus terhadap penutupan operasi ladang dan kilang sawit di enam daerah di Sabah.

Advertisement

Keputusan itu dijangka akan diumumkan oleh Ketua Menteri Sabah selepas Mesyuarat Kabinet Negeri pada 8 April 2020.

Kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’Dr Khairudin Aman Razali, KPPK sememangnya menyambut baik langkah tegas yang diambil oleh Kerajaan Negeri Sabah dalam membendung penularan wabak COVID-19 di Negeri Sabah terutama di kawasan-kawasan yang terlibat.

Namun dalam masa yang sama, KPPK juga yakin bahawa solusi yang terbaik akan diambil oleh Kerajaan Negeri Sabah demi kepentingan sosio-ekonomi semua pihak yang terlibat.

Kata beliau, dalam hal ini, KPPK berpandangan kenyataan Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) dan Persatuan Pemilik Ladang Sawit Malaysia (MEOA) pada 7 April bahawa penutupan operasi ladang dan kilang sawit akan memberi kesan ke atas sosio-ekonomi masyarakat Sabah mempunyai meritnya.

Malah kata Dr Khairudin keputusan itu wajar dipertimbangkan semula oleh Kerajaan Negeri Sabah berdasarkan kes demi kes.

KPKK menyokong penutupan ladang dan kilang sawit dihadkan kepada ladang dan kilang sawit yang pekerjanya disahkan positif COVID-19.

“Langkah penutupan operasi ladang dan kilang sawit bukan sahaja memberi implikasi dari aspek ekonomi dan sosial kepada pekerja dan pemilik ladang dan kilang sawit.

“Malah turut memberi kesan kepada hasil pendapatan, khususnya negeri Sabah dan negara secara amnya,”katanya dalam satu kenyataan KPKK kepada Harakah pagi ini.

Menurut Dr Khairudin lagi, kutipan hasil daripada sektor perladangan sawit adalah amat diperlukan oleh Kerajaan Negeri Sabah dalam membiayai program membendung penularan wabak COVID-19.

Malah ia juga memberi bantuan secara langsung kepada rakyat Negeri Sabah yang terjejas semasa dan selepas Perintah Kawalan Pergerakan.

Selain itu tegasnya, penutupan operasi ladang dan kilang sawit juga dilihat akan
merencatkan dan menjejaskan rantaian pengeluaran bekalan minyak masak untuk keperluan domestik, khususnya di Negeri Sabah.

Bagi mengatasi isu ini kata beliau, pihak KPPK ingin mencadangkan supaya ladang dan kilang sawit di enam daerah tersebut khususnya bagi kawasan yang tidak terjejas dengan penularan wabak COVID-19 serta jauh di pedalaman dan terasing daripada kawasan yang terkesan dengan wabak dibenarkan beroperasi.

Sementara tambahnya ladang dan kilang di kawasan ini dicadangkan beroperasi dengan pematuhan sepenuhnya secara lebih ketat langkah-langkah pencegahan dan Standard Operating Procedure (SOP) yang telah digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Untuk makluman, KPPK pada 25 Mac 2020 telah pun mengemukakan surat rayuan kepada Ketua Menteri Sabah supaya mempertimbangkan semula perintah penutupan operasi bagi enam daerah yang terlibat.

Selain itu Kementerian melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) juga telah mengemukakan maklumat dan input yang berkaitan kepada pihak Kerajaan Negeri Sabah dengan harapan satu penilaian dan pertimbangan yang sewajarnya dapat dibuat.

Dalam pada itu, KPPK sentiasa menasihatkan kepada kesemua penggiat industri sawit negara untuk sentiasa mematuhi perintah kawalan pergerakan termasuk meminimakan tenaga kerja dan pergerakan pekerja.- HARAKAHDAILY 8/4/2020