Lagi laporan polis terhadap pemimpin PAN

PASIR PUTEH: Ketika rakyat cemas berdepan dengan wabak Covid-19, sebaliknya pemimpin PAN pula menghala ‘serangan’ terhadap pemimpin PAS dan Perikatan Nasional (PN).

Baru-baru ini media sosial dipercayai milik pemimpin PAN mempersendakan pelantikan Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah.

Advertisement

Kemudian diikuti seorang lagi pemimpin PAN apabila menyamakan logo PAS dengan logo jenama arak (Heineken) ketika isu kilang arak dibenar operasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berikutan itu Ketua Penerangan Assabiqun Kelantan Drs Zainuddin Awang Hamat sekali lagi membuat laporan polis terhadap seorang lagi pemimpin PAN.

Katanya Facebook yang menggunakan nama Ab Shukur Azhar dianggap sebagai tidak bertanggungjawab ketika negara sedang bergelumbang dengan Covid-19 menghantar sendaan yang boleh menjejaskan keharmonian.

“Kami juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap individu terbabit.

“SKMM merupakan agensi kerajaan yang berautoriti terhadap sebarang kesalahan yang dilakukan di internet dan media sosial yang dianggap boleh menganggu-gugat ketenteraman awam,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh hari ini.

Hadir sama Pengerusi Pekida Pasir Puteh Md. Zaki Nordin.- HARAKAHDAILY 8/4/2020