Pemuda PAS sedia khidmat beli, hantar barang

RANTAU PANJANG: Pemuda PAS Rantau Panjang menyediakan perkhidmatan percuma bagi membeli keperluan penduduk untuk mengelakkan ramai keluar rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang.

Ketuanya Muhammad Zulfiqah Mohd Razali berkata, inisiatif itu diambil bagi membantu rakyat yang terjejas di kawasan parlimen Rantau Panjang.

Advertisement

Katanya perkhidmatan pembelian dan penghantaran meliputi DUN Apam Putra, Chetok dan Gual Periok.

“Sebelum ini kami mengagih bantuan yang disediakan kerajaan negeri dan sumbangan wakil rakyat kepada kira-kira 200 penduduk.

“Usaha itu bagi membantu penghulu mukim mengagihkan sumbangan kepada penduduk yang terjejas di mana kebanyakan bekerja sendiri termasuk menoreh getah, tukang rumah dan kerja kampung,” katanya di sini.

Menurutnya program itu turut mendapat kerjasama NGO, badan-badan korporat dan orang ramai yang meminta bantuan Pemuda PAS mengagih bantuan kepada golongan memerlukan.

Kata beliau antara barangan yang disumbang termasuk beras, minyak masak, gula, sardin, gandum dan telur.

Bagaimanapun menurutnya bagi penduduk yang sudah mendapat bantuan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) mereka boleh membuat pesanan bagi membeli keperluan harian dengan perkhidmatan penghantaran percuma disediakan Pemuda PAS Rantau Panjang.

“Mereka boleh senaraikan barangan yang hendak dibeli dan skuad Pemuda PAS sedia menghantar tanpa dikenakan caj pengangkutan,” katanya.

Maklumat lanjut boleh hubungi melalui telefon atau whatsapp 013 934 2823 (Shahir) atau 019 738 7913 (Ruduan).

Sebelum ini Assabiqun dan Pekida Pasir Puteh menyediakan perkhidmatan ‘Foodfaster’ bagi membantu orang ramai membeli keperluan harian di sekitar Pasir Puteh.- HARAKAHDAILY 8/4/2020