PJ Polis Sarawak dijangkiti dari kluster gereja?

AGAK mengejutkan bila membaca berita Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail, dikuarantin di Hospital Umum Sarawak setelah disahkan positif COVID-19 malam tadi.

Perkara pertama yang terlintas dalam fikiran saya ialah dari mana puncanya pegawai polis berusia 56 tahun dan berasal dari Kampung Ladang, Kuala Terengganu, ini dijangkiti COVID-19.

Kata Datuk Aidi, beliau telah menghadiri beberapa mesyuarat, termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, yang dihadiri oleh mereka yang positif COVID-19.

Bila disemak, terdedahlah berita beberapa pembesar Sarawak diarahkan dikuarantin kerana menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak pada 27 Mac lalu.

Ini kerana seorang ahli mesyuarat, iaitu Datuk Dr Jerip Susil, Pembantu Menteri Pengangkutan Sarawak, disahkan positif COVID-19 dan dikuarantin di Hospital Umum Sarawak.

Advertisement

Datuk Dr Jerip Susil pula mendedahkan bahawa beliau dijangkiti COVID-19 daripada seorang pekerjanya yang menghadiri persidangan Good News Fellowship Church, Kuching.

Mengikut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, 83 orang dari kluster persidangan gereja dari 26 ke 28 Februari ini telah disahkan positif COVID-19.

Dua daripada mereka, iaitu lelaki berumur 60 tahun (kes ke-358) dan perempuan berumur 46 tahun (kes ke-2471), telah meninggal dunia, masing-masingnya pada 17 dan 30 Mac.

Apa pun, tanpa mengira dari mana punca sebenar Datuk Aidi dijangkiti COVID-19, marilah kita sama-sama doakan agar beliau, ahli keluarga dan kontak beliau dilindungi Allah.

Wajar diakui kebagusan beliau yang taat perintah bila dipindahkan ke negeri panas COVID-19 ini pada 18 Februari setelah menjadi Pesuruhjaya Polis Terengganu sejak 23 April 2017.

Wajar diakui juga kebagusan beliau yang tidak merahsiakan beliau positif COVID-19 tidak seperti dua Pesuruhjaya SUHAKAM yang sampai sudah merahsiakan identiti mereka.

Inilah contoh pengorbanan besar penjawat awam kita kepada negara, sanggup merisikokan keselamatan diri semata-mata untuk menyelamatkan rakyat dari wabak COVID-19.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 8/4/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.