Tiada bazar Ramadan di Kelantan

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan hari ini mengesahkan tiada bazar Ramadan di negeri itu tahun ini berikutan keadaan wabak Covid-19 masih membimbangkan.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, melihat keadaan semasa sekarang kerajaan negeri putuskan untuk tidak mengadakan bazar Ramadan.

Advertisement

“Perkara itu kita putuskan dalam mesyuarat tadi untuk tidak akan menganjurkan bazar Ramadan,” katanya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di JKR 10 hari ini.

Baru-baru ini Menteri Besar berkata, sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih diadakan, kerajaan negeri tidak akan menganjurkan bazar Ramadan.

Sebelum ini Menteri Kanan (Keselamatan) Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bazar Ramadan tidak dibenarkan jika tempoh PKP masih diadakan.

Menurutnya juga sekiranya PKP tamat sebelum Ramadan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) untuk penganjuran bazar berkenaan.- HARAKAHDAILY 8/4/2020