7 PPWK jahit PPE untuk ‘Frontliner’

KOTA BHARU: Sebanyak tujuh Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) di seluruh Kelantan menyiapkan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kegunaan petugas barisan hadapan bagi menangani Covid-19.

Pengarah Urusetia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (Ukekwa), Ilvira Mohd Dasuki berkata, PPWK menawarkan perkhidmatan menjahit dan menyiapkan PPE sejak 24 Mac lepas.

Advertisement

Katanya petugas menyiapkan PPE sehingga 31 Mac lepas dan akan diteruskan beberapa hari lagi untuk menjahit gaun dan shoe cover yang mendapat permintaan sekarang.

“Kita menggunakan tukang jahit daripada kalangan tenaga pengajar (Mudarribah) dan bekas pelajar PPWK (Ajwa) untuk menyiapkan kelengkapan PPE,” katanya di sini.

Menurutnya juga sehingga sekarang PPWK mengeluarkan sebanyak 3,748 yang merangkumi tudung 1,669, shoe cover (1,053), gaun (734), boot cover (286) dan enam jump suit.

Kata beliau, bahan kelengkapan tersebut termasuk getah, benang dan plastik dibekalkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma).- HARAKAHDAILY 9/4/2020