COVID-19: Dunia catat lonjakan tinggi, Malaysia ke-34

Lebih 1.5 juta kes jangkitan dan hampiri 90k kematian

KUALA LUMPUR: Malaysia menunjukkan kemampuan menangani pandemik COVID-19 apabila berada di kedudukan semakin baik, sedang negara seluruh dunia merekodkan kes yang kian menaik.

Advertisement

Ketika banyak negara dunia mencatat peningkatan membimbangkan, Malaysia sekadar mengalami pertambahan mendatar dengan turun lagi berada di tangga ke-34, setakat jam 8 pagi ini.

Dalam masa kurang satu minggu, dunia menerima lonjakan pertambahan melebihi 150 peratus kes baharu yang disahkan setelah mencatat angka ke satu juta pada awal pagi 4 April lalu.

Memasuki hari ke-124 sejak kes rasmi pertama dilaporkan 8 Disember tahun lalu, jumlah terkini adalah 1,510,088 kes dengan 88,335 kematian, sementara 329,685 pesakit berjaya pulih.

Amerika Syarikat kekal di kedudukan teratas dengan 427,101 kes di mana dalam 24 jam terkini telah mencatat 26,766 kes baharu, manakala kematian sudah berjumlah 14,668 nyawa.

Diikuti Sepanyol yang terus mengatasi Itali di mana terkini bertambah 6,278 kes menjadikan jumlah keseluruhan 148,220 kes dengan korban semasa mencecah 10 peratus iaitu 14,792 kematian.

Itali pula masih merekodkan kematian tertinggi iaitu 17,669 kes daripada 139,422 kes terjumlah, selain Jerman dan United Kingdom masing-masing mencatat lebih 5,000 kes semalam.

Seluruh data ini mewakili 209 negara dan wilayah, termasuk dua kapal pengangkutan antarabangsa di mana negara-negara ASEAN turut menunjukkan lonjakan yang semakin buruk ketika ini.

Walaupun Malaysia masih di tangga teratas, namun Filipina, Indonesia dan Thailand yang kini di kedudukan 35, 37 dan 43 dunia, sedang berlaku pertambahan kes baharu dan kematian mendadak.

Negara mengalami pertambahan 156 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan disahkan jangkitan kepada 4,119 kes, dengan catatan 65 kematian, namun seramai 1,487 pesakit berjaya pulih dan discaj, semalam.

Status Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bakal diumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sama ada akan tamat pada 14 April nanti atau perlu tempoh lanjutan fasa baharu, pada esok hari. – HARAKAHDAILY 9/4/2020

Malaysia