Tik Tok: Pemuda PAS cadang perbincangan lanjut

ANAK muda dikejutkan dengan sebuah kecaman dan kritikan berkenaan suatu inisiatif oleh Kementerian Pengajian Tinggi berkenaan pertandingan untuk menghasilkan video paling kreatif dengan menggunakan aplikasi Tik Tok.

Pemuda PAS melihat penggunaan aplikasi ini adalah sebuah lagi teknologi yang sedang pesat berkembang untuk menonjolkan hasil kreatif anak muda yang semakin berkembang dan meningkat kesan daripada perkongsian yang tiada batasan di seluruh dunia. Bagaimanapun, aplikasi yang dicipta bermula pada tahun 2012 oleh usahawan muda China seterusnya menjadi fenomena kerana penampilan berbeza daripada penggunaan aplikasi media sosial yang lain ini dilihat ramai pihak sebagai kurang sesuai untuk diletakkan agenda Kementerian Pengajian Tinggi.

Pemuda PAS memahami dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan kebanyakan anak muda merasakan diri mereka ini terpenjara dan kemungkinan aplikasi ini dipandang boleh menjadi ‘teman’ untuk menghilangkan keresahan dan kebosanan dalam menempuh tempoh yang cukup menguji kesabaran diri anak muda ini yang sentiasa ‘tidak boleh duduk diam’ di satu tempat.

Advertisement

Bagaimanapun, polemik yang timbul ekoran langkah KPT ini ditambah dengan prinsip syariat sendiri yang menekankan persoalan Sadduz Zarai’ (menutup pintu keburukan), Pemuda PAS yakin ada beberapa perkara yang wajib dipertimbangkan di peringkat Kementerian bagi memastikan kecanggihan yang sedang dinikmati oleh anak muda ini akhirnya mampu membina anak muda yang boleh membawa kebaikan dan menyampaikan mesej yang bermanfaat.

Pemuda PAS bersedia untuk duduk semeja dengan mematuhi social distancing untuk merancang bersama dalam membina aktiviti anak muda yang boleh diusahakan sesuai dengan imej Kementerian sebagai penyelaras pengajian di peringkat tinggi. Matlamat kita ialah supaya kehendak anak muda kita mampu untuk dipenuhi dalam masa yang sama mampu membina generasi yang lebih bermanfaat dan jauh daripada gejala yang menjatuhkan jati diri anak muda Malaysia.

“Demi Islam”
“Islam Memimpin Perpaduan”

AHMAD FADHLI SHAARI
Timbalan Ketua,
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) – HARAKAHDAILY 9/4/2020