Cadangan naik taraf Pasar Borong Gong Pauh

KUALA TERENGGANU: Pasar Borong Gong Pauh, Kuala Terengganu kini perlu diberi perhatian sewajarnya agar dapat dibina semula atau dinaik tarafkan menjadi lebih tersusun dan moden.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim berkata sudah tiba masanya Pasar Borong Gong Pauh itu dibangunkan semula agar menjadi lebih baik dan tersusun.

Ini kerana, kata beliau, pelbagai rungutan diterima daripada para peniaga dan pengunjung pasar berkenaan yang mengadu berlaku ketidakselesaannya.

Advertisement

Menurutnya, pasar borong berkenaan telah menjadi tumpuan sejak sekian lama beroperasi kerana sebagai pembekal utama barangan keperluan harian untuk beberapa daerah di negeri ini.

“Pasar Borong Gong Pauh ini yang sudah berusia 20 tahun, yang sudah lama menjadi rungutan masyarakat tentang keadaannya yang tidak diberi tumpuan sebelum ini. Kita melihat di negeri-negeri lain seperti Selangor, pasar borong mereka dibangunkan dengan cara tersusun.

“Di Kuala Terengganu ini, sudah sampai masa supaya dibina atau dinaik taraf pasar borong ini agar lebih tersusun. Ini kerana, ianya menjadi tumpuan agihan bahan-bahan makanan mentah bukan sahaja ke Kuala Terengganu, tapi untuk daerah Marang, Hulu Terengganu dan Kuala Nerus.

“Apabila berlaku arahan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) sekarang, Pasar Borong Gong Pauh ini menjadi tumpuan para peniaga dan pengunjung. Maka, kesesakan turut berlaku di pasar berkenaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau Operasi Sanitasi Nyah Kuman oleh anggota Bomba dan Penyelamat (Bomba) dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di Pasar Borong Gong Pauh, Kuala Terengganu, hari ini.

Kata Amzad, masalah pasar borong berkenaan pernah diajukan kepada pihak kementerian ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah setahun lalu.

“Pihak kerajaan negeri (Terengganu) telah mengambil langkah pro-aktif dengan menyelesaikan isu berkait status pemilikan tanah pasar ini.

“Saya akan bangkitkan lagi isu ini kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Zuraida Kamaruddin, dan sekarang ini kerajaan baharu Perikatan Nasional (PN), saya harap perkara ini boleh dipermudahkan demi kesejahteraan rakyat di Terengganu ini,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu menganggarkan jika mendapat peruntukan RM20 juta sudah memadai dapat dibangunkan atau dinaik taraf pasar berkenaan agar lebih tersusun dan moden.

“Bangunan yang ada sekarang sudah tidak relevan lagi dan perlu kepada pembinaan yang baharu. Sebab bangunan sedia ada terlalu rapat hingga bersesak-sesak antara pengunjung. Binaan yang lama, kanvas yang rosak, masalah longkang dan serba kekurangan.

“Jika kita dapat anggaran kos RM20 juta untuk bina pasar borong yang baharu, tersusun, sistem saliran yang baik dan lengkap sudah memadai, Insya’Allah,” ujarnya.

Menurutnya, seramai 416 peniaga Pasar Borong Gong Pauh akan rasa cukup gembira jika pasar berkenaan diberi perhatian oleh kerajaan Persekutuan di masa akan datang.

Turut serta dalam meninjau proses sanitasi itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abnihajar.- HARAKAHDAILY 10/4/2020