Covid-19: Syabas KKM ambil tindakan tepat

KERAJAAN Malaysia khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilihat telah melakukan tindakan yang betul dalam menangani krisis pandemik Covid-19. Langkah-langkah yang diambil ternyata membuahkan hasil di mana Malaysia antara negara yang berjaya mendatarkan lengkungan graf agar tidak berterusan menuju ke puncak.

Jika melihat statistik dari WHO dan CPRC Kebangsaan hari ini, jumlah kematian di Malaysia akibat Covid-19 adalah 1.58 peratus berbanding peratus kematian di USA 3.23 peratus, Spanyol 9.98 peratus, Itali 12.6 peratus, Indonesia 8.18 peratus dan Filipina 4.7 peratus. Kadar Mortaliti disebabkan wabak ini di Malaysia jauh lebih rendah dari kadar kematian di peringkat dunia iaitu 5.83 peratus.

Advertisement

Kadar kesembuhan di Malaysia ketika artikel ini ditulis adalah 38 peratus, lebih baik dari kadar kesembuhan keseluruhan di serata dunia iaitu 21.77 peratus. USA biarpun dianggap sebagai sebuah negara yang menerajui pelbagai kecanggihan hanya mencatat kesembuhan lebih kurang 5.26 peratus. Negara-negara maju lain seperti Sepanyol ialah 32.4 peratus dan Itali 19 peratus. Negara hebat lain dalam bidang perubatan iaitu Korea Selatan pula mencatat 66.9 peratus dan Australia 46.48 peratus.

Kakitangn Barisan hadapan KKM (frontliners) yang menghidap Covid-19 di Malaysia adalah seramai 181 orang dengan dua kematian namun kesemua penghidap tidak terinfeksi ketika mengendalikan pesakit Covid-19 tetapi kerana mempunyai sejarah perjalanan luar negara dan jangkitan berkaitan kluster lain.

Kesemua fakta ini menggambarkan betapa komitednya kerajaan Malaysia untuk mengekang pandemik ini dari terus menular. Keupayaan pasukan barisan hadapan (frontliners) wajar di puji walaupun kita masih berhadapan dengan beberapa kekurangan. Sumbangan dan kerjasama dari pelbagai pihak khususnya pihak swasta, badan NGO dan NGI sangatlah bermakna kerana krisis pandemik ini bukanlah hanya masalah kepada pemerintah. Setiap rakyat Malaysia mestilah memainkan peranan masing-masing.

Dr Najihatussalehah Ahmad.
Ketua Penerangan
Dewan Muslimat PAS Malaysia.
16 Syaaban 1441H – HARAKAHDAILY 10/4/2020