COVID-19: Teknologi dan inovasi seiring IR4.0

KETIKA dunia berhadapan dengan pendemik wabak COVID-19 yang menyerang lebih daripada sejuta orang, kita memerlukan kepakaran golongan profesional untuk melakukan inovasi dan teknologi baru bagi membantu memutuskan rantaian ini daripada terus merebak.

Baru-baru ini Kluster Kejuruteraan JPro (KKj), Jabatan Profesional Muda (JPro) telah menganjurkan Activate Cafe menerusi aplikasi siaran langsung Facebook. Begitu banyak kupasan menarik yang dikongsi oleh Ir Haji Khairil Nizam selaku Ketua Pemuda PAS Malaysia berkait teknologi dan inovasi.

Inovasi tempatan dan luar negara

Terdapat beberapa inovasi yang direka dengan kerjasama oleh rakyat Malaysia untuk membantu Kerajaan terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Antara yang paling menonjol ialah menghasilkan Personal Protective Equipment (PPE) yang bersesuaian untuk frontliners. Dengan adanya inisiatif ini, ia akan membantu frontliners menjalankan tugas mereka di saat bekalan PPE di seluruh negara tidak mencukupi.

Advertisement

Selain itu, terdapat juga inovasi lain yang berjaya dihasilkan oleh penyelidik universiti, para saintis mahupun badan bukan kerajaan (NGO) di dalam atau luar negara. Antaranya seperti Disinfection chamber, Sterilization Chamber, Mobile Disinfection Chamber, Face Shield, Aerosol Box, Dron technology dan juga Thermal Scanner.

Antara sumbangan PAS

Apakah langkah PAS dalam menggerakkan ahlinya yang terdiri daripada golongan profesional dalam membantu menangani wabak COVID-19 ini? Solusi paling berkesan setakat ini adalah duduk di rumah. Selain itu, kempen derma darah juga amat digalakkan kepada para Pemuda PAS dalam membantu membekalkan darah yang diperlukan dari semasa ke semasa.

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) juga mempunyai Jabatan Amal Malaysia (JAM) yang berperanan dalam membantu urusan kebajikan dan juga bantuan ketika berlaku bencana. Selain itu, PAS juga mempunyai jaringan bersama Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) serta gabungan bersama Jabatan Muslimat Medikal Team (MusMedik) dalam membantu dari sudut menyediakan PPE kepada frontliners.

Saranan buat semua

Sebagai penutup, Ir Haji Khairil memberi tiga saranan penting buat rakyat Malaysia. Pertama, sila patuhi arahan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Jangan melakukan perkara yang bercanggah dengan arahan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan.

Kedua, jangan meletakkan segala bebanan kepada Kerajaan semata-mata. Kerajaan hanya memberi subsidi mengikut keperluan, jadi jangan terlalu meminta subsidi berlebihan kerana bantuan diberikan kepada yang lebih memerlukan.

Yang terakhir, kembalilah kepada Tuhan. Bagi yang beragama Islam, agama mengajar supaya segala musibah yang berlaku datangnya daripada Allah. Kembalilah kepadaNya. Apa yang berlaku sekarang telah mengubah tabiat manusia supaya bermuhasabah dan bersyukur dengan segala pemberian-Nya.

FAIZ RAZALI
Kluster Kejuruteraan,
JPro DPPM – HARAKAHDAILY 10/4/2020