Hasil perikanan seluruh negara cukup untuk pengguna

KUALA LUMPUR: Keperluan hasil perikanan untuk memenuhi pasaran dan permintaan domestik kekal mencukupi walaupun ketika negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, keperluan tersebut bahkan masih mempunyai lebihan 30,000 tan metrik berbanding 155,000 tak metrik kegunaan bulanan.

“Bahkan semua pergerakan yang melibatkan urusan bekalan makanan tidak dihalang dalam PKP ini. Jadi kita tidak nampak sebarang sebab untuk kita bermasalah dengan ikan ini memandangkan negara kita sendiri mengeluarkan lebih daripada keperluan,” ujarnya.

Beliau memberikan jaminan tersebut ketika ditanya media selepas melawat ke Pusat Pendaratan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) diiringi Pengarah LKIM Negeri Pahang, Rashima Baharuddin, sebentar tadi.

Menurut beliau, pihak kementerian juga mewujudkan bilik gerakan yang memantau bukan sahaja harga, tetapi memastikan rantaian pemasaran dari nelayan kepada pengguna dapat dicapai sebaiknya.

Jelasnya, masalah yang timbul berjaya diselesaikan dan tidak berlaku isu besar melainkan masalah-masalah terpencil di mana pihak kementerian telah mengambil tindakan menanganinya.

Advertisement

“Ada (khidmat penghantaran berbayar – COD), dah macam-macam dah (ditawarkan). Sekarang ini alhamdulillah, pembelian melalui talian dan sebagainya. Maknanya pelbagai pihak cuba menawarkan program-program beli dalam talian dan sebagainya yang memudahkan.

“Dan mungkin ini perubahan dalam konsep pemasaran barangan makanan insya-Allah. Dan melalui FAMA juga kita buka seperti mana yang telah diumumkan oleh Menteri, beberapa pusat dipanggil Pasar Segar Terkawal di seluruh negara.

“Jadi itu juga membantu, maknanya barang makanan ini sampai kepada rakyat,” terangnya kepada media dan memaklumkan lambakan hasil berkaitan juga telah diatasi menerusi agensi-agensi berkaitan.

Beliau juga menyifatkan warga nelayan dan petani sebagai sebahagian barisan hadapan negara dalam soal memastikan kecukupan keperluan berkenaan kepada seluruh rakyat di negara ini.

Sempena lawatan tersebut, Dato’ Che Abdullah yang turut disertai ADUN Tanjung Lumpur, Ustaz Rosli Abdul Jabar, telah menyampaikan 700 Bakul Makanan dari LKIM Pahang kepada para nelayan. – HARAKAHDAILY 10/4/2020