Ingkar PKP: 392 didenda RM1,000

KUALA LUMPUR: Seramai 666 individu yang ingkar arahan Kawalan Perintah Pergerakan (PKP) ditahan polis, daripada jumlah berkenaan seramai 392 individu didenda RM1,000 manakala 263 individu dikenakan reman dan 11 individu dijamin polis.

Advertisement

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mungkin ada keperluan untuk meningkatkan denda atau kompaun bagi kesalahan yang melanggar PKP.

Katanya, Singapura misalnya mengenakan hukuman denda sebanyak SD10,000 untuk kesalahan pertama dan kesalahan kedua adalah SD20,000.

Sementara Korea Selatan pula sebanyak RM35,000 dan Indonesia tidak terkecuali mengenakan kadar denda yang tinggi iaitu 300 juta Rupiah kepada rakyat mereka yang tidak patuh arahan kawalan penyakit berjangkit.

“Mungkin kita nak minta pihak KKM berbincang dengan pihak Peguam Negara, kalau perlu mungkin kita boleh naikkan lagi denda ataupun kompaun yang boleh dikenakan.

“Dari segi penjara pun mungkin boleh ditambah dan sebagainya supaya ini boleh dijadikan ketakutan kepada rakyat supaya tidak melakukan keengkaran kepada PKP ini,” katanya menerusi sidang media harian PKP, di sini hari ini.

Kesalahan melanggar PKP adalah terletak di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit 1988 dan Akta Polis 1967, individu yang melanggar akta berkenaan boleh dikenakan hukuman penjara enam (6) bulan atau denda RM1,000.

Hingga setakat ini kadar pematuhan rakyat terhadap arahan PKP masih 97 peratus dan Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan sebanyak 775 sekatan jalan raya di seluruh negara serta 508,605 kenderaan telah diperiksa.

Jumlah tangkapan PKP sejak 18 Mac sehingga 9 April adalah seramai 7,479 seperti yang diumumkan.

Demikian itu, Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) akan dikerahkan untuk membantu PDRM dan ATM semasa pelaksanaan sekatan jalan raya.

Kata Ismail Sabri, dengan kerjasama daripada JPJ membolehkan PDRM membuat penambahan sekatan jalan raya dan rondaan pemeriksaan mengejut di seluruh negara. – HARAKAHDAILY 10/4/2020