Kes rendah hasil disiplin penduduk patuh PKP

KUALA KANGSAR: Status Daerah Kuala Kangsar yang berada dalam zon kuning jangkitan COVID-19 dengan hanya dua kes berlaku sebenarnya turut dijayakan oleh disiplin kepatuhan penduduk kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Advertisement

Sehubungan itu, Muslimat PAS Kawasan Kuala Kangsar merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Bandar DiRaja ini kerana bersolidariti membantu menjayakan usaha mencegah pandemik itu dari menular.

Ketua Muslimat PAS Kuala Kangsar, Intan Norhani Bashir juga merakamkan penghargaan sama ke atas barisan hadapan negara yang bertungkus lumus memastikan para penduduk mematuhi arahan ditetapkan itu.

Beliau telah menyampaikan serahan bantuan keperluan dari rumah ke rumah bersama ADUN Manong, Mohamad Zuraimi Razali bertujuan meringankan beban penduduk terjejas di Kampung Ketior, di sini semalam.

Pemberian tersebut merupakan inisiatif Muslimat PAS hasil sumbangan para dermawan untuk diagihkan kepada para penduduk yang dikenalpasti amat memerlukan bantuan berikutan pelaksanaan PKP selama hampir sebulan.

Beliau turut mengambil kesempatan menasihatkan penduduk yang ditemui agar bersabar dengan ujian Allah dan mendoakan agar ianya tidak berpanjangan agar semua rakyat kembali menjalani rutin kehidupan biasa. – HARAKAHDAILY 10/4/2020