Pembuangan sayuran bukan alternatif terbaik – DPIM

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) didakwa punca pembaziran beratus-ratus tan sayur ditinggalkan dan dibuang di Cameron Highlands.

Menerusi aduan di media sosial, ia berikutan kekurangan pekerja untuk memunggah sayur dari lori serta waktu operasi pasar awam yang terbatas dan sekatan trafik di jalan raya sewaktu PKP didakwa telah menimbulkan kesan rantaian negatif terhadap bekalan sayur dan makanan mentah di pasaran.

Dukacita dengan keadaan itu, Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata seharusnya golongan pengusaha pertanian perlu mencari solusi alternatif untuk meneruskan kelangsungan perniagaan tanpa berlakunya pembaziran

“Jika bazar Ramadan dicadangkan dibuat atas talian melalui e-bazar, mengapa tidak penjualan sayuran dan buah-buahan dari Cameron?

Advertisement

“Pasar-pasar besar seperti Aeon, Tesco dan Giant boleh membantu dengan menggunakan aplikasi penghantaran terus ke rumah melalui perkhidmatan mereka.

“Kita seharusnya merancang untuk menghadapi keadaan yang buruk dan berdoa untuk mendapat keadaan yang terbaik. Situasi membuang sayuran tersebut adalah langkah pembaziran,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berpendapat bahawa situasi ini sebenarnya dapat dimanfaatkan oleh orang ramai memandangkan hasil pertanian adalah bekalan makanan yang digunakan sepenuhnya oleh masyarakat.

Katanya, pemimpin persatuan petani di Cameron dan ADUN kawasan seharusnya menghubungi agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di setiap kawasan untuk mengumpul hasil pertanian yang berlebihan yang tidak dapat dijual di pasaran.

Dalam masa yang sama, kerajaan juga boleh menggunakan agensi di bawah kementerian bagi mengedarkan hasil pertanian yang dikumpul kepada golongan memerlukan secara percuma.

“DPIM melihat kepada solusi terbaik kepada masyarakat dan bukanlah jalan keluar senang yang menyebabkan pembaziran.

“Setiap orang harus menjalankan tugas mereka dengan terbaik untuk mendapatkan hasil yang terbaik, lebih-lebih lagi sewaktu krisis melanda,” ujarnya.– HARAKAHDAILY 10/4/2020