Pendidikan di Malaysia: Meraikan kepelbagaian

malaysia

MUSIM Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mencetuskan satu gelombang di mana manusia cuba mencari jalan untuk menghilangkan kebosanan duduk di rumah dengan cara yang kreatif. Bermula dengan pembelian dalam talian yang makin menjadi-jadi, aksi masakan di dapur dengan pelbagai resepi baharu, minuman kopi ala-ala cafe hipster dan pelbagai lagi kemahiran baharu dipelajari sama ada melalui perkongsian di laman komunikasi sosial, aplikasi komunikasi dan mencuba kembali kemahiran memasak yang sudah lama ditinggalkan dek kesibukan kerja.

Sebagaimana disebut sebelum ini tujuan pendidikan adalah untuk menambah nilai pengetahuan, kemahiran dan sikap kepada peribadi dan tingkah laku seseorang makhluk Allah. Untuk melihat masa depan, kita harus melihat remaja hari ini. Namun, melihat sahaja tidak cukup tetapi persoalan yang lebih besar bagaimana kita membentuk remaja hari ini melalui pendidikan.

Advertisement

Budaya hedonisme melampau melalui aplikasi hiburan bukan sahaja cabaran kepada ibu bapa dan guru, malahan juga kepada remaja untuk memilih bentuk hiburan yang selari dengan syariat. Aplikasi rakaman aksi menari yang melampau norma masyarakat harus disekat atau dikawal, manakala pemimpin masyarakat seharusnya menganjurkan aktiviti atau pertandingan yang membina akhlak anak bangsa melalui kaedah positif.

Sebagaimana kata Howard Gardner bahawa manusia mempunyai pelbagai kecenderungan seperti kecerdasan dalam bidang muzik, interpersonal, intrapersonal, kinestatik, ruang, bahasa, alam dan matematik. Fitrah manusia yang sukakan hiburan memang perlu diberi ruang, namun ruang diberi harus disesuaikan dengan tujuan pendidikan sedari awal kanak-kanak sehingga ke alam barzakh.

Sistem pendidikan di Malaysia yang wujud dengan pelbagai aliran dan mazhab mewujudkan kepelbagaian produk pendidikan Malaysia. Bermula dari sistem pendidikan awal kanak-kanak sudah pelbagai kefahaman bentuk pendidikan yang harus diberikan kepada anak-anak. Anak-anak kita ibarat kain putih yang perlu dicorakkan sesuai dengan cabaran kehidupan. Ibu bapa harus memilih pendidikan yang menyeimbangkan dunia dan akhirat kerana matlamat Pendidikan Islam adalah pendidikan hari ini untuk kehidupan selepas dunia iaitu akhirat. Hasil pendidikan ini akan menunjukkan keberhasilan tujuan pendidikan.

Pelbagai jenis bentuk sekolah wujud sama ada sekolah kebangsaan rendah dan menengah (SK dan SMK), sekolah jenis kebangsaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah mubaligh, sekolah swasta, sekolah antarabangsa, sekolah agama, maahad tahfiz, sekolah dari rumah, sekolah amanah, sekolah berasrama penuh, sekolah vokasional dan lain-lain sekolah menjadikan hasil keluaran yang berbeza. Di Finland tidak adalah sistem persekolah berbeza kerana bagi mereka semua anak wajib dilayan sama rata.

Apabila kewujudan pelbagai aliran di dalam sistem pendidikan di Malaysia ini, maka wujudlah jurang kualiti pendidikan di antara sekolah terbabit. Menjadi isu sebelum ini di mana masyarakat mula mempersoalkan kewujudan pelbagai jenis sistem persekolahan ini disebabkan isu rasis diantara kaum dan agama. Ada ibu bapa Melayu-Islam yang memilih untuk menghantar anak ke sekolah swasta dan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) disebabkan mereka mempersoalkan kualiti dan kemenjadian anak mereka.

Walaupun idea menyatukan pelbagai sekolah melalui sekolah wawasan telah dilaksanakan sebelum ini namun wujud bantahan yang kuat dari pelbagai parti politik berasaskan kaum yang mahu mengekalkan identiti dan budaya mereka. Persoalan sekarang adakah wujud ‘azam politik’ yang kuat untuk menyatukan rakyat Malaysia untuk belajar di bawah sistem yang sama, namun semua keperluan diraikan seperti, kelas agama, kelas bahasa, kelas kemahiran.

PROF MADYA DR RIDZWAN CHE RUS
Dekan
Fakulti Teknikal dan Vokasional
Universiti Pendidikan Sultan Idris – HARAKAHDAILY 10/4/2020