Perginya anai-anai, cendawan pun tumbuh

CUBA kita lihat di sekeliling kita, di mana-mana pun PAS terkehadapan dalam menghadapi kemelut dan isu masyarakat dari dulu lagi. Isu banjir? Kelantan? Terengganu? Penang? Johor? Perak? Iya, PAS menjadi frontliners dalam membantu kebajikan mangsa.

Isu pencemaran kimia Sungai Kim-kim? Iya, PAS konsisten menegur pemimpin, juga konsisten menjadi frontliners membantu mangsa. Unit Amal, doktor-doktor sukarelawan turun tanpa mempedulikan kawasan parti mana.

Lihat di Selangor, ketika Pakatan Rakyat (PR) menang dan BN kalah, rakyat Selangor menikmati negeri berkebajikan dengan bas percuma, bil air elektrik percuma, manfaat kesihatan dan banyak lagi.

Advertisement

Bila PAS disingkirkan dari PR, Selangor tepu tak mampu berfikir memperbaharui dan memberdayakan agenda kebajikan dulu dibawa bila ada krisis, manfaat percuma ingin ditarik semula.

Kini PAS tidak minta tetap konsisten dengan prinsip, dibawa bersama, bekerjasama menerajui kerajaan, agenda kebajikan itu lebih mantap dan lebih mapan berbanding pemerintahan parti-parti yang ada sebelum dan insya-Allah konsisten akan datang.

Kenapa PAS kini lebih laju? Sesungguhnya penapisan Allah itu cantik, perancangan Allah itu cantik. Jika dulu agenda siasah dan tarbiyah itu sering kali bertempur, sering kali bersaing, sering kali tidak serasi bergerak seiring. Dek banyaknya pemikiran anai-anai yang kononnya mahu politik PAS maju, tidak terpinggirkan, tidak dipijak dan dipergunakan. Sehingga melangkaui saranan ajaran sebenar Islam yang rahmah.

“Jangan bantu kawasan orang BN totok!”, “Jangan berkawan orang BN korupsi”, “Pulaukan orang BN…”. Dan banyak lagi karut-marut cereka, seolah-olah kerana nila setitik benar-benar merosakkan susu sebelanga.

Dek kerana percanggahan tarbiyah dan siasah inilah, ramai asatizah dan profesionalis agamawan minggir dari bersama PAS, lebih rela menjadi orang tengah pemerhati, tak serasi dengan jiwa kemanusiaan.

Alhamdulillah, anai-anai ini Allah takdirkan berpindah rumah. Disangkanya PAS adalah kayu yang reput tidak berguna. Namun kehendak Allah jua, dengan perginya anai-anai, cendawan tumbuh, paku pakis tumbuh, kayu ini ditegakkan semula, disandar buat tanaman bunga orkid yang cantik. Subhanallah…! Para profesional dan asatizah yang meminggir mula bersama PAS.

Kenapa? Kuncinya, tarbiyah dan siasah itu diseiringkan. Berpolitik secara syarie teorinya tak sama dengan sains politik Barat. Praktikalnya kita dapati lebih rahmah buat ummah, tarbiyah diperkasakan, politik yakni siasah menurut Islam itu juga diperkasakan, kebajikan diperkasakan, tanpa mengira parti. Yang melakukan kesilapan, tak kira dia kaya atau miskin tetap dibawa ke penghadapan. Ini jelas. Prinsip PAS jelas. Sokong yang benar.

Tarbiyah tidak harus berlawanan dengan siasah, bahkan saling mendukung dan menguatkan. Itu yang Islam ajar, jangan melampau, jangan menghukum sebelum didapati bersalah, kebajikan rakyat yang utama melebihi kepentingan mana-mana parti.

Ini yang sepatutnya. Insya-Allah, moga PAS istiqamah, memegang dasar Perlembagaan Al-Quran As-Sunnah. Jika kita tak mahu membawa agendanya, maka orang lain akan bawa. PAS tak rugi apa pun, namun pejuang yang meninggalkan perjuangan yang rugi. Islam tak rugi, namun orang yang meninggalkan perjuangan Islam yang rugi.

Tuan Guru Haji Hadi pernah berpesan, jika masih ada Islam di hati, perjuangankanlah!

Tak kira kita di platform mana, jangan dikesampingkan Islam. kerana apa? Hanya Islam yang boleh bawa agenda kebajikan dan rahmah ke seluruh alam. Insya-Allah.

Bukan Islam yang separuh-separuh, tapi Islam yang menyeluruh. Siasah ke, ekonomi ke, pendidikan ke, bawa Islam, jangan dikesampingkan. Makanya orang Islam dan bukan-Islam akan aman. Insya-Allah.

Tarbiyah dan siasah tidak perlu bersaing, tapi perlu seiring…!

Catatan:
QATRUNNADA MOHD LATFI – HARAKAHDAILY 10/4/2020