PKP: Kehidupan baharu perlu dibiasakan

KUALA LUMPUR: Kehidupan rakyat di negara ini untuk bulan-bulan atau tahun yang mendatang tidak akan kembali seperti biasa, demikian kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kita akan menjalani kehidupan dengan “the new normal” atau kebiasaan baharu. Apa yang biasa kita buat dahulu, tak boleh kita buat lagi.

Advertisement

“Contoh mudahnya, berjabat tangan. Kalau dulu berjabat tangan bila berjumpa adalah satu perkara yang biasa dibuat. Kalau tak dibuat ianya dianggap janggal, atau tak beradab. Tetapi sekarang ini lain.

Kita tak boleh berjabat tangan bila berjumpa untuk mengelakkan jangkitan virus. Mungkin kita tunduk sahaja sebagai tanda hormat. Ini adalah “the new normal”, atau kebiasaan baharu,” katanya dalam sidang sidang media hari ini.

Menurutnya, perkara yang tidak biasa dibuat sebelum ini seperti membasuh tangan perlu menjadi amalan semua rakyat.

“Begitu juga perkara yang kita tak biasa buat sebelum ini seperti basuh tangan. Sekarang dan untuk masa yang akan datang kita mesti biasakan membasuh tangan dengan lebih kerap.

“Gunakan sabun, hand sanitizer dan sebagainya. Juga memakai face mask,” tambahnya lagi.

Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan lanjutan tempoh PKP selama dua minggu lagi iaitu sehingga 28 April berkuatkuasa 15 April ini- HARAKAHDAILY 10/4/2020