Tempoh PKP dilanjutkan sehingga 28 April

KUALA LUMPUR: Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 28 April yang berkuatkuasa bermula pada 15 April ini.

Advertisement

Perkara tersebut diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Putrajaya, hari ini.

Menurut beliau, lanjutan tempoh PKP diputuskan bagi membantu serta memberi ruang kepada petugas kesihatan dalam memerangi Covid-19 selain bagi mengelakkan penukaran semula wabak jangkitan Covid-19.

Malah, tindakan tersebut dibuat selaras dengan pandangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang berpendapat bahawa PKP tidak boleh ditarik dengan tempoh yang terlalu awal.

Malaysia sebelum ini telah menetapkan bahawa tempoh PKP bagi rakyatnya sehingga 14 April, bagaimanapun mengambil langkah proaktif, tempoh tersebut dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 28 April ini bagi memastikan wabak pandemik itu tidak mengganas semula.

Langkah yang diambil kerajaan Malaysia setakat ini telah membuktikan bahawa ia satu langkah yang tepat apabila peratusan kadar kematian di Malaysia lebih rendah berbanding kadar peratusan dunia. – HARAKAHDAILY 10/4/2020