Tidak sedar mereka bukan lagi kerajaan

ARAU: Pihak yang mempertikai pelantikan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah dianggap tidak sedar mereka bukan lagi kerajaan.

Mursyidul Am PAS Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin berkata, pihak terbabit tidak boleh menerima kenyataan mereka sudah tidak menjadi kerajaan sekarang.

Advertisement

Sedangkan katanya Tuan Guru Abdul Hadi pernah dilantik Naib Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia sebelum ini.

“Ini bermakna beliau merupakan orang kedua selepas Dr Sheikh Yusof Al-Qaradawi dan itu bukan jawatan yang calang-calang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan barangan dapur daripada PAS Perlis kepada kakitangan Jabatan Penjara di Pusat Koreksional Perlis hari ini.

Baru-baru ini seorang pemimpin PAN menghantar ungkapan jelik melalui laman sosialnya terhadap Presiden PAS dengan mempersendakan pelantikan sebagai Duta Khas ke Timur Tengah.

Sebelum ini, beberapa laporan polis telah dibuat terhadap individu terbabit supaya diambil tindakan.- HARAKAHDAILY 10/4/2020