Arak: Pemuda lapor polis fitnah terhadap PAS

KAMPAR: Dewan Pemuda Kawasan Kampar telah membuat laporan polis terhadap seorang pemilik akaun Facebook yang dianggap membuat kenyataan jelik terhadap Presiden PAS di Balai Polis Malim Nawar, di sini hari ini.

Advertisement

Laporan polis itu dibuat Ketua Pemuda PAS Kawasan Kampar, Ts Mohd Shahrizan Ahmad Fuat dengan turut disertai Naib Ketua Pemuda Kampar, Mohd Fauzi Abd Rom dan Pengarah Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) Kampar, Abdul Hadi Azman.

Catatan di akaun dipercayai milik penyokong Pakatan Harapan itu memuat naik catatan “Calsberg hari itu bagi derma 60 juta…terus boleh beroperasi dan jadi halal bagi olamak Hadi” dipercayai merujuk Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“Kami mendesak pihak berkenaan menarik balik segera kenyataan biadab dan fitnah yang berlegar di akaun Facebooknya dan meminta maaf secara terbuka kepada pemimpin PAS,” gesanya.

Menurutnya umat Islam seharusnya menahan diri daripada mencerca orang lain dan amalan ‘gutter politic’ dan ‘character assassination’ terutamanya ketika negara berhadapan dengan bencana COVID-19 tatkala ini.

Baru-baru ini terdapat penularan surat rasmi di mana membenarkan sebuah kilang arak untuk meneruskan operasinya dan dilabel sebagai ‘sektor pembuatan kritikal’ yang boleh dikeluarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Isu ini telah mendapat reaksi pelbagai terutamanya daripada warganet di mana PAS sebagai parti yang bersama memerintah kerajaan tidak terkecuali daripada ditohmah bersekongkol dengan perkara tersebut.

Bagaimanapun, Mesyuarat Khas Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 6 April lalu telah memutuskan kelulusan kilang arak dibatalkan berkuatkuasa serta-merta. – HARAKAHDAILY 11/4/2020