Bala sebagai peringatan Allah S.W.T

ALLAH S.W.T banyak menceritakan di dalam al-Quran berkenaan bala yang menimpa umat terdahulu sebagai peringatan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W. Malah bala ini terus berlangsung sehingga kiamat tetapi tidak seberat yang dirasai oleh umat terdahulu kerana doa Rasulullah S.A.W kepada Allah S.W.T untuk menangguhkan azab dunia terhadap umatnya.

Sepertimana yang berlaku pada hari ini, seluruh dunia diserang oleh wabak COVID-19 yang telah menjadi satu penyakit global dan memberi kesan yang cukup besar kepada kehidupan manusia.

Fungsi dan punca bala

Bala juga boleh dimaksudkan sebagai ujian. Fungsi bala dikenakan kepada manusia adalah sebagai peringatan kerana manusia bersikap melampaui batas dan melanggar ketetapan Allah S.W.T.

Advertisement

Sepertimana yang disebutkan dalam Hadis Rasulullah S.A.W, turunnya bala kepada manusia adalah berpunca daripada kesalahan dan maksiat yang berlaku;

إِذَا ظَهَرَتْ الْمَعَاصِي فِي أُمَّتِي عَمَّهُمْ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ بِعَذَابٍ مِنْ عِنْدِهِ

“Jika timbul maksiat pada umatku, maka Allah akan menyebarkan azab, seksa, kepada mereka.”

(Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Kepada siapa bala?

Bala bencana ini tidak hanya menimpa orang yang jahat atau berperangai buruk, tetapi juga ditimpa kepada orang yang baik dan soleh.

Sepertimana COVID-19 juga terkena kepada golongan Tabligh dan pelajar-pelajar tahfiz menunjukkan bahawa bala juga turut terkena kepada orang yang baik;

وَٱتَّقُواْ فِتۡنَةٗ لَّا تُصِيبَنَّ ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنكُمۡ خَآصَّةٗۖ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ

“Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.”

(Al-Anfal: 25)

Muhasabah terhadap bala

Apabila bala menimpa kepada sesuatu kaum atau puak, sikap yang perlu diambil oleh manusia sepatutnya adalah muhasabah dan kembali kepada fitrah agama.

Cukup malang sekiranya ada yang bersikap bongkak malah mempermain bala ini seolah-olah hanya terkena kepada kaum lain dan orang yang jahat.

Mohonlah taubat supaya diangkat bala

Pernah berlaku pada zaman Khalifah Saidina Umar apabila ditimpa musim kemarau panjang yang juga dikenali sebagai عام المجاعة (Tahun Kelaparan).

Lantas Saidina Umar melakukan solat Istisqa’. Dalam doanya, beliau tidak memohon supaya diturunkan hujan tetapi memohon taubat kepada Allah S.W.T akan kesalahan atau kesilapan yang mungkin berlaku dalam masyarakat.

Hal ini kerana Saidina Umar memahami realiti bala yang muncul adalah berpunca daripada hasil sikap dan perbuatan manusia. Maka dengan memohon taubat itu agar Allah mengangkat bala yang menimpa.

PKP dan sikap kita

Dalam menghadapi wabak COVID-19 ini, Kerajaan Malaysia telah mengumumkan untuk mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sejak 18 Mac lalu untuk memutuskan rantaian jangkitan.

Masa yang ada semasa PKP ini, sebaiknya kita renunglah kehidupan kita sebelum ini dan banyakkan bertaubat kepada Allah S.W.T untuk mengampunkan dosa-dosa kita yang menyebabkan bala ini muncul.

Hentikanlah sikap ingin mempolitikkan segala isu dan menyalahkan pihak lain. Sekarang bukanlah masanya untuk perkara sedemikian tetapi sekarang adalah masa untuk sama-sama berganding bahu memastikan keselamatan untuk negara.

ASYRAF HANIF
Pasir Mas, Kelantan
17 Syaaban 1441H
11 April 2020

*Petikan Kuliah Tafsir al-Kahfi Dato’ Mohd Amar Abdullah – HARAKAHDAILY 11/4/2020