Kerajaan tidak ‘pilih bulu’ salur bantuan

TUMPAT:  Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mengamalkan sikap ‘pilih bulu’ dalam menyalurkan sumbangan keperluan rakyat khasnya ketika Covid-19 melanda negara.

Advertisement

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik turut dibantu.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan sumbangan kepada masyarakat dalam Parlimen Tumpat di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Adun Kelaboran, Mohd Adanan Hassan, Adun Wakaf Bharu, Rosli Abdullah dan Ketua Umno Bahagian Tumpat, Dato’ Zulkifli Abdullah.

Sebanyak 1,000 pek keperluan harian termasuk beras disalurkan pada majlis yang diadakan di Pejabat Umno Bahagian Tumpat.

Menurutnya, semua rakyat yang berdepan kesukaran khususnya masalah kewangan wajar dibantu.

“Kita berharap mesej ini sampai ke bawah. Bantulah golongan yang dhaif dan memerlukan terutama sekitar rumah kita, jiran kita,” ujarnya.

Sementara itu Zulkifli ketika berucap pada majlis itu mengucapkan tahniah di atas pelantikan Che Abdullah sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Jelasnya, pelantikan itu amat sesuai memandangkan Che Abdullah pernah menjadi exco dari portfolio yang sama dalam Kerajaan Kelantan.

“Orang Parlimen Tumpat memang beruntung kerana mempunyai timbalan menteri.

” Moga rakyat dapat manfaat yang baik darinya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/4/2020