PKP: Jadikan bi’ah solehah di rumah, madrasah Ramadhan

BULAN Ramadhan sudah pastinya akan mula disambut ketika kita semua masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah dilanjutkan sehingga 28 April 2020.

Ianya setelah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia dalam perutusan khas semalam yang mana telah memberi pelbagai reaksi berbeza di kalangan kelompok masyarakat tertentu.

Namun demikian, hikmahnya ‘penyatuan hati’ di kalangan rakyat Malaysia keseluruhannya memberi impak positif dengan masing-masing disarankan untuk membiasakan kehidupan baru seumpama ini.

Sudah pasti di akhir PKP Fasa 2 dan bakal memasuki PKP Fasa 3, setiap daripada kita sewajarnya sudah memiliki perancangan dan penjadualan kehidupan yang lebih baik termasuklah Ramadhan yang semakin hampir.

Advertisement

Antaranya, kita mestilah terus memilih untuk kekal positif dengan melaksanakan perkara kebaikan khususnya dalam mewujudkan bi’ah solehah di rumah bagi memenuhi ruang dan menyempurnakan peluang beribadat kepada Allah S.W.T.

Dalam Surah An-Nahl, ayat 97, Allah S.W.T berfirman yang maksudnya;

“Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.”

Dalam kehidupan seharian kita walau bagaimana keadaan kita ketika ini, kita tetap sama mempunyai tempoh masa yang sama iaitu 24 jam sehari semalam cuma berbezanya dari segi pengisiannya.

Ada yang memilih untuk tidur sepanjang hari, ada yang memilih berjaga sepanjang masa bermain ‘games’ atau melayari internet dan juga terdapat mereka yang hanya termenung tidak berbuat apa-apa.

Jika sedemikian, rugilah mereka kerana tidak memenuhi masa yang ada dengan kerja yang berfaedah sebagaimana disebutkan dalam al-Qur’an, Surah al-Asr berkaitan masa yang sangat berharga sebenarnya.

Sebagaimana Firman Allah S.W.T dalam Surah al-Ahzab, ayat 41-42 yang bermaksud;

“Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang.”

Amalan zikir ini menjadi antara amalan individu yang boleh dilakukan secara istiqamah sepanjang masa 24 jam yang kita ada, tetapi boleh juga diberikan penumpuan khusus yang diajar oleh para ‘alim ulamak berdasarkan Sunnah Rasulullah S.A.W.

Sangat dicadangkan lima zikir asas iaitu istighfar (Astaghfirullah), tasbih (Subhanallah), tahmid (Alhamdulillah), takbir (Allahuakbar) dan tahlil (Lailahaillallah) tidak ditinggalkan setiap kali selepas mendirikan solat fardhu lima kali sehari semalam.

Di samping itu, mengamalkan bacaan zikir Al-Matsurat susunan As-Syahid Imam Hassan Al-Banna dibaca setiap pagi (selepas solat fardhu Subuh) dan setiap petang (selepas solat fardhu Asar), malah dapat bersama sekeluarga adalah lebih indah.

Dalam pada itu, ruang masa yang ada juga diperbanyak bacaan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang sudah pasti besar ganjarannya di sisi Allah S.W.T apatah lagi di bulan Ramadhan Kareem.

“Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad S.A.W); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”

(al-Ahzab: 56)

Sama-samalah kita memanfaatkan peluang membentuk madrasah Ramadhan ketika ini dengan amalan yang baik dan akhirnya dapat membiasakan diri untuk beramal soleh walaupun tidak dapat laksanakan seperti kebiasaan di Masjid atau Surau.

Sesungguhnya besarnya nikmat Allah S.W.T ini untuk melatih hamba-Nya ikhlas serta berusaha bersungguh-sungguh mendapatkan keampunan dan sentiasa memanjatkan doa bermunajat kepada Tuhan Pencipta sekalian alam.

Daripada Uthman bin Affan berkata, aku mendengar Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud;

“Sesiapa yang membaca;

بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

“”Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudharatan di bumi mahupun di langit, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga Subuh. Dan barangsiapa yang membacanya ketika Subuh sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa bala yang datang secara tiba-tiba sehingga petang (malam).”

[Riwayat Abu Daud]

Semoga kita semua mendapat rahmat Allah S.W.T dan dihindari daripada dijangkiti virus COVID-19 atau penyakit-penyakit lain yang menyukarkan kita untuk mengabdikan diri kepada-Nya.

Oleh: ZULFAHMI RAMLI – HARAKAHDAILY 11/4/2020