Sidang Dun Kelantan Isnin ini – Mohd Amar

Dato' Mohd Amar Abdullah menyampaikan sumbangan kepada pengamal media yang diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat Dun Panchor hari ini.

KOTA BHARU: Kelantan akan mengadakan Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada 13 April ini dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa seperti jarak sosial.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, hasrat tersebut juga turut mendapat perkenan Tuanku Sultan Kelantan untuk tidak hadir merasmikan majlis pembukaan persidangan itu.

“Tiada orang luar hadir termasuk Ketua Jabatan dan sebagainya, yang hadir hanya ahli dewan, Timbalan Speaker dan Speaker. Proses diadakan juga singkat, satu jam selesai.

Advertisement

“Kita adakan persidangan pun betul-betul untuk memenuhi syarat perlembagaan sahaja, tiada soal jawab, perbahasan semua tidak, yang perbentangan rang undang-undang dan luluskan sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan kepada pengamal media yang diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat Dun Panchor di sini petang ini.

Pada majlis berkenaan sebanyak 40 bungkusan beras lima kilogram dan keperluan lain seperti minyak, tepung dan gula kepada wakil media untuk diagihkan kepada wartawan yang bernaung di bawah persatuan.

Mohd Amar menambah, persidangan itu terpaksa diadakan selama enam bulan sekali berdasarkan perlembagaan negara, sekiranya gagal diadakan Dewan Undangan Negeri akan terbubar sendiri.

Beliau memaklumkan tempoh akhir bagi sidang Dun diadakan bagi penggal ini iaitu 18 April depan dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa termasuk jarak sosial satu meter.

“Kita tiada pilihan kecuali kita terpaksa buat untuk memenuhi perundangan, cuma sidang ini kedudukan ahli mengikut apa yang dimaklumkan pihak berkuasa memang akan dijarakkan.

“Begitu proses nyah kuman sudah dilakukan, kemudian susunan kerusi juga diubah tidak duduk dalam keadaan biasa sebagai ahli dewan kena duduk di bahagian atas bukan dalam lingkungan,” katanya.

Sementara itu Speaker Dun Kelantan Dato’ Abdullah Yakub berkata, persidangan itu hanya membabit Adun sahaja.

Katanya lain-lain jemputan termasuk media tidak ada ia memandangkan wabak Covid sekarang.

“Kawalan keselamatan akan diperketatkan berikutan wabak yang berlaku sekarang” katanya.- HARAKAHDAILY 11/4/2020