PKP: Siti Zailah tinjau khidmat sokongan seluruh M’sia

KUALA LUMPUR: Kesiapsiagaan anggota pasukan petugas barisan hadapan negara dalam tindakan memerangi dan mencegah penularan pandemik COVID-19 amat penting sentiasa berada di tahap tertinggi dan berfokus.

Advertisement

Sememangnya, dalam tempoh yang amat panjang ini serta segala perkara terpaksa dihadkan selain kewaspadaan setiap masa telah menuntut kerjasama dan sokongan dari pelbagai sudut agar motivasi terus dipugar.

Atas kepentingan peranan itulah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff memastikan petugas agensi di bawahnya sentiasa berkemampuan memberi khidmat mereka.

Oleh itu beliau telah mengadakan lawatan ke semua pusat kuarantin dan bilik gerakan bantuan dalam memastikan khidmat berkaitan kebajikan dan pengawasan diselia mengikut keperluan yang sewajarnya.

Semestinya amat mencabar, beliau juga perlu memastikan keperluan dan peralatan berkaitan berada dalam keadaan mencukupi serta tenaga kerja yang melaksanakan mengikut panduan serta keselamatan ditetapkan.

Antara dilakukan petugas terutama dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara adalah menjadi perantara kepada Pesakit Dalam Pengawasan (PUS) bukan warganegara yang memerlukan penterjemahan.

Juga memastikan pengisian kepada PUS, termasuk untuk kanak-kanak selain khidmat sokongan kepada anggota petugas barisan hadapan dan serahan bantuan Bakul Makanan kepada penduduk memerlukan.

Setakat tempoh dari 22 Mac hingga 3 April sahaja, Dato’ Siti Zailah telah melakukan lawatan ke 26 premis berkenaan, selain melakukan pemantauan menerusi maklum balas diperolehi dari pegawai berkenaan melalui interaksi sidang video. – HARAKAHDAILY 12/4/2020