COVID-19: Satu kematian, 134 kes baharu

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Malaysia meninggal dunia hari ini kerana dijangkiti wabak COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan yang meninggal adalah sebanyak 77 orang.

Selain itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa sebanyak 134 kes baharu yang dicatatkan dan menjadikan jumlah keseluruhan yang positif COVID-19 di negara ini setakat ini adalah berjumlah 4,817 kes.

Advertisement

Dalam masa yang sama, katanya sebanyak 168 individu telah discaj dan sembuh, menjadikan jumlah keseluruhan yang sembuh adalah seramai 2,276 individu iaitu 47.3 peratus daripada jumlah positif.

Ia juga menjadikan, jumlah kes aktif setakat ini adalah sebanyak 2,464 kes.

Berikutan kes kematian ke-77 adalah kes ke-2,797 yang merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

“Beliau merupakan peserta perhimpunan tabligh di Sri Petaling yang telah dirawat di Hospital Melaka pada 31 Mac 2020 sebelum disahkan meninggal dunia pada 13 April 2020 jam 9.15 pagi tadi,” katanya dalam sidang media sebentar tadi.- HARAKAHDAILY 13/4/2020