Hindari sebar berita palsu sewaktu wabak

DALAM risalah Al-Ulama’ Fi Muwajahah Kuruna: Ayyu Musahamah Liddin Fi Tajannubi Al-Waba’ tulisan Abu Munib Al-Talidi menegaskan bahawa Islam menegah seseorang itu menyebarkan maklumat palsu khasnya ketika terjadi wabak penyakit:

Advertisement

أنه إذا كان من واجب المسلم في كل وقت أن يتبين الخبر قبل نشره وإذاعته، فإن تشديد الشرع على بث المعلومات الخاطئة التي من شأنها إثارة ذعر الناس وهلعهم، يكون أكثر في حالات انتشار الوباء، لأن الناس يكونون في أشد الحاجة للطمأنينة، وأن هذه الأخبار الزائفة تزيد من فتنتهم، وتضعف قدرتهم على التعامل اليقظ مع الوباء.

“Bahawa sesungguhnya bila menjadi kewajipan setiap Muslim pada semua keadaan untuk dia tabayun sebarang berita sebelum disiar dan diterbitkan, maka Syariat Islam mengambil penekanan serius terhadap penyiaran maklumat palsu yang menyebabkan orang panik dan berada dalam ketakutan khasnya semasa berlaku wabak. Manusia sememangnya berhajat untuk berada dalam keadaan tenang dan selesa sementara berita palsu hanya mendatangkan penyebaran fitnah dan menyebabkan mereka menjadi lemah untuk berhadapan secara lebih baik dalam situasi wabak penyakit”.

Setiap wabak penyakit yang berlaku adalah suatu ujian serta bala yang Allah S.W.T timpakan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dalam situasi sebegini, Islam mengajar seluruh manusia agar menginsafi kesalahan diri dan kembali kepada Allah agar Allah menjadikan ujian ini sebagai ganjaran besar kepada mereka yang beriman. Sangat tidak wajar dan biadab dengan Allah apabila manusia masih lagi suka menyebarkan berita palsu dan membuat tuduhan melulu dalam tempoh wabak. Perbuatan tersebut hanya mengundang dosa dan dosa megundang pelakunya masuk neraka, wal’iyazubillah.

Elakkan membuat posting berunsur fitnah dan menyebar berita tidak benar melalui media baru. Perkara yang kita tidak berpuas hati tidak mengharuskan kita membuat teguran terbuka di media sosial. Kritikan dan nasihat boleh disampai secara direct kepada empunya badan dengan penuh beradab. Cacian dan makian akibat perasaan marah dan tidak puas hati hanya membuka ruang kepada team Syaitan untuk memburukkan lagi keadaan seterusnya mewujudkan suasana porak-peranda dalam sesebuah masyarakat.

ASRI ED-DIWANIE – HARAKAHDAILY 13/4/2020