Kerajaan PN untuk rakyat – Amzad

Ahmad Amzad menyerahkan barangan keperluan asas kepada persatuan penjaja dan peniaga kecil Cawangan Kuala Terengganu, di Pasar Payang II, Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang baharu mengambil alih tampuk pemerintahan negara ini mempunyai mesej yang jelas iaitu kerajaan untuk rakyat.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim berkata, kerajaan PN amat prihatin dengan kesulitan rakyat ketika menghadapi wabak pandemik Covid-19 yang menjadi ancaman kepada manusia hari ini.

Justeru, katanya pelbagai insentif dan peruntukan disediakan oleh kerajaan untuk rakyat hingga mencecah ratusan bilion diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia.

“Mesej kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak mengambil alih kerajaan adalah jelas bahawa kerajaan yang ada pada hari ini ialah untuk rakyat.

Advertisement

“Oleh kerana itu, kesusahan rakyat yang ada pada hari ini dalam tempoh wabak pandemik. Penyakit ini bukan sahaja melanda negara kita sahaja, tetapi seluruh dunia terkena Covid-19 ini.

“Maka, kerana itu kerajaan (PN) kata, kalau kita ada duit banyak manapun kita akan guna untuk rakyat. Inilah masanya untuk kita bantu rakyat. Nyawa rakyat dan keselamatan rakyat nombor satu, duit boleh cari,” ujarnya dalam ucapan ringkas Majlis Penyerahan Barangan Keperluan Asas kepada Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Cawangan Kuala Terengganu, di Pasar Payang II, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama wakil persatuan menerima sumbangan daripada Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu Pengerusinya, Zakaria Yusuf.

Menurutnya, sehingga 11 April seramai hampir 1.6 juta (kini 1.7 juta) manusia di seluruh dunia dijangkitan wabak dan hampir 100,000 (kini 108,807) pula telah menjadi korban wabak Covid-19.

“Sehingga semalam (11 April) seramai 1,567,590 (kini 1,776,310) kes positif wabak pandemik di seluruh dunia terkena penyakit ini. Ianya tidak kenal siapa, orang besar, orang kecil, orang kaya, orang miskin, orang non-muslim atau orang Islam pun semua kena belaka.

“Sudah 93,706 (kini 108,807) orang telah mati menjadi korban kerana wabak Covid-19 seluruh dunia. Di Malaysia pun begitu juga sebanyak 4,346 (kini 4,683) kes positif seluruh negara dengan jumlah kematian 70 (kini 76) kes setakat ini,” jelasnya.

Justeru, kata Ahmad Amzad, tindakan kerajaan Malaysia mengenakan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan untuk menyusahkan rakyat tetapi menyelamatkan nyawanya.

“Dalam keadaan sekarang ini kita faham, semua orang susah. Orang niaga susah, orang biasa pun susah. Semua orang susah pada hari ini.

“Maka, oleh kerana itu dalam sejarah negara kita sejak kita merdeka. Ini kali pertama kerajaan keluar sampai RM250 bilion untuk bantu rakyat. Daripada itu, RM128 bilion masuk terus ke akaun rakyat, melalui kira-kira kepada isi rumah.

“Selain daripada itu bantuan dalam bentuk perniagaan, pengecualian, penangguhan dan sebagainya. Baru-baru ini, (kerajaan) ditambah lagi RM10 bilion,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu mengajak rakyat seluruhnya bersabar dan bersama memperkukuhkan kerajaan Perikatan Nasional ini.

“Saya harap rakyat dapat bersabar dan Insya’Allah, kita sama-sama boleh mengharungi perkara (kesusahan) ini. Selepas ini kita fikir macam mana supaya dengan kerajaan yang stabil untuk majukan negara.

“Kita perlukan sebuah kerajaan yang kukuh. Jika tidak, tiada orang hendak melabur. Selepas ini kita perkukuhkan kerajaan yang ada supaya kita boleh bantu pembangunan dan memperkukuhkan ekonomi negara kita,” jelasnya.

Selain itu, katanya di peringkat Kuala Terengganu, setakat ini telah lebih 10,000 keluarga dibantu melalui Pusat Khidmat Parlimen Kuala Terengganu dan diselaraskan dengan Adun-adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung).

Menurutnya, kika ada di kalangan rakyat yang tertinggal atau terlepas pandang boleh hubungi terus dengan pihak MPKK di tempat masing-masing.

“Setakat ini, ada kes beritahu pagi, petang sudah terima bantuan. Insya’Allah, jika benar-benar layak dan tidak terima lagi bantuan, hari yang sama akan sampai bantuan.

“Masalah sekarang ini main ‘tembak’ dalam Facebook dan WhatsApp. Kadang-kala apa yang diviralkan itu tidak betul dan khabar angin sahaja.

“Kadang-kalanya, ada kes dia (penerima) sudah terima bantuan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), Maidam (Majlis Agama Islam Dan Adap Melayu) tetapi mahu lagi. Oleh itu, tolonglah bertimbang rasa kepada orang yang belum terima lagi,” ujarnya.

Namun, kata Ahli Parlimen itu, kerajaan yang ada hari ini sama ada di peringkat negeri Terengganu dan Persekutuan akan berusaha sedaya mungkin bagi membantu rakyatnya.- HARAKAHDAILY 13/4/2020