Negara kian pulih, solidariti rakyat makin meningkat

KUALA LUMPUR: Negara terus menunjukkan tanda-tanda semakin pulih dari pandemik COVID-19 apabila graf kes jangkitan kekal mendatar setakat laporan rasmi jam 5:00 petang semalam.

Advertisement

Berdasar laporan, terdapat 153 kes baharu menjadikan kumulatif kini 4,683 kes dengan 113 pesakit discaj merekodkan keseluruhan 2,108 telah pulih dan kematian semasa berjumlah 76 kes.

Kedudukan Malaysia di carta dunia juga masih kekal di tangga ke-34 ketika peningkatan di 209 negara dan wilayah lagi menjadikan jumlah terkini 1,853,155 kes dan 114,247 kematian setakat ini.

Malah, negara berjaya mengekalkan 29 daerah sebagai zon hijau, manakala operasi sanitasi atau nyah cemar berjaya diselesaikan di semua 89 zon merah, jingga dan kuning setakat kelmarin.

Pun begitu, kerajaan telah dahulu mengumumkan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memastikan jaminan rantaian COVID-19 dapat diputuskan hingga angka sifar.

Namun, disebalik kes-kes keingkaran yang terjadi, tinjauan Majlis Keselamatan Negara ke atas 323,312 responden mendapati seramai 89 peratus bersetuju untuk PKP dilanjutkan lagi.

Malah, dari 196,917 responden, 92 peratus menyokong PKP Fasa 3 diperketatkan lagi dan 96 peratus dari 296,129 responden pula berpuas hati dengan usaha kerajaan dalam menangani COVID-19. – HARAKAHDAILY 13/4/2020