Relawan MCM dan penggalangan bencana Covid-19

Zulkifli Wahijan (Kanan) selaku Presiden MCM menyerahkan bantuan kepada mereka memerlukan.

GERAKAN swadaya yang dibidani daripada tragedi bencana kemanusiaan di Acheh ini semenjak awal Covid-19 telah memberikan perhatian kepada perancangan untuk membantu masyarakat dan kerajaan.

Muslim Care Malaysia (MCM) telah membatalkan semenjak awal program-program yang telah dirancang kerana bimbang wabak ini menaufan dunia termasuk Malaysia.

Misi ke Padang Indonesia, misi membantu pengungsi Syria, Rohingya, juga misi kutipan dana di Eropah telah dibatalkan.

NGO bernuansa kebajikan dan kemanusiaan ini mempunyai relawan yang teruji kesungguhan dan komitmen membantu ummah dipelbagai belahan dunia. Semenjak daripada 18 Mac sehinggalah malam tadi hampir 100 program membantu masyarakat yang terkesan dengan PKP, malah aktif membantu pihak kerajaan.

Advertisement

Menyediakan pelbagai program turun ke medan operasional, mengagihkan PPE, menyediakan makanan, makanan asas, ubatan, belanja tunai serta sokongan moral kepada wira-wira barisan hadapan Covid-19.

MCM yang berpejabat di Muslim Care Center Selayang, mempunyai rangkaian dengan NGO-NGO tempatan dan antarabangsa yang berorientasikan kebajikan dan kemanusiaan. Mempunyai ratusan relawan yang sangat komited membantu dan meringankan beban penderitaan orang lain.

Presidennya, Zulkifli Wahijan, lulusan Universiti Hull United Kingdom bersama relawan, Exco MCM menjelajah keseluruh negara menyampaikan bantuan.

Exco MCM bekerja tanpa cuti, menghulurkan bantuan termasuk kepada masyarakat orang asal, pekerja migran daripada Indonesia, Bangladesh, Mynmar, Thailand .

Mereka juga membantu kelompok asatizah sepenuh masa yang terjejas dengan wabak fenomenal sejagat ini.

Mungkin rakyat negara ini biasa berpapasan dengan kenderaan berlogo Muslim Care Malaysia yang dipandu oleh “akhawat (wanita) besi MCM”, Atie dan Yana berhenti diratusan sekatan jalanraya Polis dan tentera bagi menghulurkan bantuan.

Muka mereka tebal demi untuk membantu insan lain, juga guratan wajah mereka bertukar gelap disengat mentari terik musim ini.

Kenderaan MCM menjelajah daripada Selatan ke Utara, Barat dan ke Timur, padat dengan kampit beras dan barang keperluan lain.

Senyuman gembira terukir indah diwajah penerima, musim ini segalanya payah dan jerih.

Bantuan dilebarkan kepada asnaf, kelompok B40, golongan santri termasuk yang belajar diluar negara turut dibantu oleh MCM.

Haji Johari ,Safuan Ujar, Khidir, Cik Fuza, Dr Uyyun, Ustaz Shukri, Ustaz Nazmi Karim tanpa lelah menghidupkan bilik operasi bantuan.

Bilik operasi yang beroperasi sepanjang minggu dan tanpa cuti terus melaporkan perkembangan misi bantuan diseluruh negara, juga aliran keluar masuk kewangan.

Semua penggerak MCM ini berukhuwwah seperti adik beradik, saling bahu membahu, melengkapi antara satu sama lain.

Unit seranta dan promosi, unit mobilisasi bantuan, media dan pengiklanan memotori gerakan bantuan Covid 19 ini.

Menginsafi bahawa rakyat jembel dan yang terbanyak sangat terjejas akibat Covid-19, ramai yang kelaparan dan ketakutan maka tindakan kerja mestilah digarap dalam perspektif yang betul, tepat, terarah untuk membantu. Usaha membantu bukanlah usaha promosi murahan untuk melonjakkan nama MCM semata-mata.

Bencana global ini telah meratah lebih 100 ribu korban nyawa manakala lebih 1.2 juta jiwa manusia telah dijangkiti. Tiada negara yang boleh mendabik dada, negara meteka selamat dan mampu mengusir virus ini dengan mudah.

Relawan MCM memahami bahawa bencana ini adalah usaha untuk menentang musuh yang tak nampak, sebab itulah memerlukan kolaborasi dan bersinergi dengan banyak pihak.

Ucapan terima kasih bersilih ganti kami terima dan ini merupakan suntikan motivasi kepada MCM untuk menghadapi hari mendatang samada ia bersifat hitam mahupun bersisi putih.

Maka dengan kesaktian dan keseriusan kerja bantuan kemanusiaan Muslim Care, NGO bantuan tanpa sempadan, kami mengharapkan agar masyarakat yang mempunyai lebihan kantung untuk mendanai misi-misi membantu kami disepanjang PKP ini.

Kami bergerak dengan dokongan massa, tanpa sokongan kalian maka kami hanya menjadi wira-wira papan kekunci sahaja.

Doakan sahabat-sahabat semua untuk kami menyumbang sesuatu yang lebih baik pada masa akan datang bagi ummah dan tanah leluhur ini.

Jom kita membantu masyarakat dengan menyumbang melalui tabung kemanusiaan Muslim Care Malaysia. Maybank Muslim Care Malaysia 5644 9041 3882 atau Hotline no: +60 11-5005 0035.

Dr Riduan Mohamad Nor – HARAKAHDAILY 13/4/2020